Ahli Parlimen DAP Segambut, Hannah Yeoh membidas Putrajaya kerana mengeluarkan arahan bekerja dari rumah yang menimbulkan kekeliruan orang ramai sejak pengumumannya pada 20 Oktober.
Dalam satu kenyataan hari ini, dia mengaitkan prosedur operasi standard (SOP) yang membingungkan dari arahan berkerja dari rumah dan kurangnya hubungan antara kementerian."
"Saya menggesa kerajaan segera menjelaskan kekeliruan ini dan memastikan denda tidak dikenakan kepada sesiapa yang didapati keliru dengan SOP yang dikeluarkan oleh kedua-dua Menteri Kanan, Ismail Sabri Yaakob dan Mohamed Azmin Ali.
"Subsidi juga seharusnya diberikan kepada majikan yang terpaksa membuat ujian Covid untuk pekerja mereka akibat kekeliruan dalam pengumuman menteri.
"Saya juga menggesa menteri-menteri yang bertanggungjawab segera belajar untuk menyelaras secara bersama sebelum sesuatu keputusan diambil kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini bukan sesuatu yang baharu, malah ianya telah bermula sejak bulan Mac lagi," katanya.
Yeoh juga mengingatkan Ismail berhenti mengadakan sidang media harian jika tidak mempunyai apa-apa pengumuman substanstif yang dapat membantu rakyat.
"Sidang media bukan tempat untuk mempromosikan baju atau barang pameran di rak. Ini kerana semakin banyak yang diumumkan, orang awam menjadi semakin keliru.
"Hentikan kekeliruan, ia akan menghentikan Covid! Apa yang paling menakutkan kita ialah sekiranya Covid-19 tidak pun membunuh ekonomi kita, semestinya ketidakcekapan para menteri akan melakukannya!" tambahnya.
Pada 20 Oktober, Ismail Sabri mengatakan pekerja awam dan swasta dalam peranan pengurusan dan penyeliaan di kawasan yang berada di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) perlu bekerja dari rumah mulai 22 Oktober.
Semalam, dia menjelaskan bahawa perintah itu tidak melibatkan semua industri dan penjawat awam, tetapi hanya industri yang berada di bawah bidang kuasa Miti dan penjawat awam di bawah bidang kuasa ketua pengarah perkhidmatan awam.
Perintah itu mempengaruhi kira-kira 800,000 pekerja di sektor industri dan 200,000 pekerja di sektor awam yang berperanan dalam pengurusan atau penyeliaan.
Kawasan yang terlibat adalah Sabah, Labuan, Selangor, Kuala Lumpur, dan Putrajaya, dan akan berkuat kuasa sehingga PKPB berakhir.
Ismail juga membatalkan pengumuman sebelumnya bahawa semua orang yang ingin terus bekerja dari pejabat di zon merah diwajibkan menjalani ujian Covid-19.
Sebaliknya, ujian hanya wajib dilakukan bagi pekerja asing yang bekerja di sektor pembinaan dan sebagai pengawal keselamatan di zon merah.
Bagi pekerja lain, ujian hanya "sangat digalakkan".
Semalam, Azmin mengatakan maksimum 10 peratus pekerja pengurusan dan penyeliaan akan dibenarkan bekerja di pejabat.
Ini termasuk mereka yang tugasnya merangkumi perakaunan, kewangan, pentadbiran, perundangan, perancangan, dan IT.