Kes Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mohd Khairuddin Aman Razali seharusnya menjadi peringatan kepada petugas perubatan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP), kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.
Terdahulu, polis mengumumkan Khairuddin tidak akan didakwa kerana melanggar perintah kuarantin di rumah disebabkan Pejabat Peguam Negara mendapati pegawai perubatan yang diberi kuasa tidak mengeluarkan borang 14b kepada menteri.
Borang tersebut mengandungi arahan untuk pengawasan rumah dan / atau perintah pemantauan.
Noor Hisham ditanya media mengapa borang itu tidak dikeluarkan kepada Khairuddin semasa ketibaan menteri di lapangan terbang. Beliau juga ditanya mengapa, jika menteri itu tidak diberi perintah kuarantin, mengapa dia dikenakan denda RM1,000.
Menjawab soalan itu, Noor Hisham meminta media merujuk semula maklum balasnya semasa sidang media pada 25 Ogos lalu.
Untuk rekod, ketika itu ketua pengarah kesihatan menjelaskan bahawa pegawai atasan KKM tidak tahu-menahu mengenai pelanggaran SOP oleh Khairuddin terhadap peraturan kuarantin di rumah kerana mereka tidak diberitahu oleh petugas perubatan di lapangan.
"Lihat jawapan saya semasa soal jawab pada 25 Ogos. Masih sama apa yang saya katakan. Saya ditanya soalan yang sama. Saya sudah membuat komen saya mengenai isu ini.
"Oleh itu polis telah menyiasat dan peguam negara telah memberikan kenyataan media.
"Tetapi yang lebih penting adalah kepada petugas barisan hadapan untuk mengikuti dan mematuhi SOP daripada segi melaksanakan perkhidmatan kami kepada orang ramai," kata Noor Hisham.
Khairuddin, yang juga ahli parlimen Kuala Nerus, kembali dari perjalanan ke Turki pada bulan Julai dan dilaporkan menjalankan kegiatannya tanpa kuarantin di rumah.
Selepas dikenakan denda RM1,000, Khairuddin memohon maaf dan menyatakan hasrat untuk menyumbangkan kepada kerajaan empat bulan gajinya sebagai menteri.
Khairuddin juga berkata tiada sebab untuknya meletakkan jawatan sebagai menteri kerana beliau tidak membuat sebarang kesalahan yang membabitkan tugasnya.
"Saya tak buat salah melibatkan kerja, tetapi melibatkan kekhilafan dalam isu prosedur operasi standard (SOP)," katanya.
Kesan jangka panjang Covid-19
Dalam perkembangan lain, ketika ditanya sekiranya pesakit yang telah pulih dari Covid-19 akan mengalami komplikasi tertentu, Dr Noor Hisham hari ini berkata masih terlalu awal untuk mengenal pasti kesan jangka panjang.
"Setakat ini kami mengikuti perkembangan (pesakit yang pulih) setiap tiga bulan selama 10 bulan.
"Masih terlalu awal untuk kita melihat kesan atau komplikasi jangka panjang Covid-19.
"Kami takut dalam jangka panjang mungkin mereka akan mengalami fibrosis paru-paru, tetapi (berdasarkan) laporan dari negara lain, ada aduan amnesia dan kelesuan.
"Kami mengikuti perkembangan pesakit kami dengan teliti sama ada kami dapat mendokumentasikan komplikasi jangka panjang ini," katanya.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.