Mahkamah memerintahkan Bendahari Pemuda Umno Melaka, Mohd Noor Helmy membayar bekas ketua pegawai eksekutif Putra Specialist Hospital Chong May Lee sebanyak RM150,000.
Ini selepas Chong memenangi kes saman fitnah yang difailkannya terhadap Mohd Noor hari ini.
Ketika dihubungi, peguam Chong, Desmond Ho berkata Hakim Mahkamah Sesyen Melaka, Elesabet Paya Wan memutuskan pagi ini bahawa defendan perlu membayar ganti rugi am sebanyak RM120,000 dan juga ganti rugi khas RM30,000.
Pemimpin Umno itu juga perlu menarik balik kenyataan akhbarnya yang memfitnah pada 26 Jun 2019 dan meminta maaf kepada Chong di "semua surat khabar tempatan".
Hakim selanjutnya memerintahkan Mohd Noor untuk mengemukakan permohonan maafnya serta pengumuman mengenai menarik balik kenyataan akhbarnya yang menyinggung perasaan Chong di laman Facebook Umno Kota Melaka selama 30 hari berturut-turut.
Ho berkata defendan tidak memaklumkan pada hari ini jika dia akan mengemukakan rayuan dan Mohd Noor mempunyai 14 hari untuk membuat keputusan.
Chong mengemukakan tuntutan saman fitnah pada 23 Oktober 2019 setelah pemimpin Umno itu mengeluarkan kenyataan media yang mengkritik cara hospital berkenaan melayan kakitangannya dan didakwa melakukan "kronisme".
Chong sebelum ini menolak tuduhan itu.
"Hujah defendan dia hanya menyampaikan aduan daripada seorang bekas pekerja hospital itu(tetapi) kakitangan tersebut tidak dipanggil sebagai saksi di mahkamah.
"Plaintif, tentu saja, menganggap (tuduhan itu) sebagai serangan langsung terhadapnya secara peribadi," kata Ho kepada Malaysiakini hari ini.
Hospital itu milik kerajaan negeri Melaka.
Berikutan kejatuhan kerajaan negeri Pakatan Harapan, Chong, yang memimpin sayap wanita DAP Melaka, digugurkan daripada jawatannya di hospital itu.