Polis telah menahan lapan orang termasuk dua pengarah syarikat membaiki dan menjual jentera-jentera pembinaan susulan pencemaran air di Sungai Gong, Rawang baru-baru ini.
Pada 19 Oktober lalu, pihak Air Selangor mengesan bau abnormal pada sumber air mentah di Sungai Selangor dan membuat laporan polis.
"Hasil siasatan awal mendapati bau yang dikesan berakhir di alur air Sungai Gong, Rawang yang disyaki bermula dari sebuah syarikat membaiki dan menjual jentera jentera pembinaan.
"Pada 21 Oktober, seorang lelaki berusia 62 tahun dan anak berumur 31 tahun yang merupakan pengarah syarikat telah ditahan di Rawang.
"Turut ditahan enam orang pekerja yang terdiri dari dua lelaki warga tempatan serta empat lelaki warga asing," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Selangor, SAC Fadzil Ahmat dalam satu kenyataan hari ini.
Ini adalah kes pencemaran air kedua dilaporkan di Sungai Gong dalam masa dua bulan.
Pada 15 September yang lalu, empat ahli lembaga pengarah dan seorang pengurus sebuah syarikat membaiki jentera berat didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang di Kuala Lumpur, hari ini berhubung kes pembuangan bahan berbahaya ke dalam Sungai Gong.
Semua tertuduh mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka.
Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa melakukan khianat dengan menyebabkan bahan buangan yang mengandungi bahan berbahaya dilupuskan ke dalam alur air yang mana akan mengalir ke dalam Sungai Gong dengan mengetahui bahawa ia akan menyebabkan susut bekalan air bagi minuman manusia.
Mengikut pertuduhan kedua, mereka dengan niat bersama dituduh telah melepaskan bahan buangan mengandungi bahan berbahaya daripada bengkel sama ke dalam alur air yang mana akan mengalir ke sungai sama tanpa lesen, di tempat dan masa sama.
Kelima-lima lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di premis berkenaan di Kampung Sungai Dua, Rawang antara 2 dan 3 Sept lepas mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima hingga 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Fadzil berkata bahawa siasatan adalah di bawah Seksyen 430 Kanun Keseksaan.
"Semua mereka akan direman pada 22/10/20 di Mahkamah Selayang," katanya lagi.
Terdahulu, Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas apabila kadar bau dikesan pada paras tiga TON.
Dilaporkan juga, beberapa LRA yg lain terpaksa dihenti tugas apabila kadar bau dikesan pada paras tiga TON.