Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Masidi: 10,400 sampel saringan Covid-19 di Sabah belum diproses
Diterbitkan:  Oct 20, 2020 9:19 PM
Dikemaskini: 1:19 PM

Kerajaan Sabah berharap proses sampel ujian saringan Covid-19 yang masih tertunggak akan dapat diselesaikan dalam tempoh tiga hingga empat hari lagi susulan pelantikan tiga hospital dan makmal swasta bagi membantu menyegerakan proses berkenaan yang diumumkan pada Isnin.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata setakat ini masih terdapat sekitar 10,400 sampel ujian saringan Covid-19 di Sabah yang belum diproses, dan keupayaan ketiga-tiga institusi perubatan swasta berkenaan diyakini dapat membantu Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menyelesaikannya.

“Saya telah umumkan bahawa kita sudah melantik tiga hospital dan makmal swasta untuk proses ini. Kita mengandaikan kes-kes (sampel) tertunggak akan dapat dibereskan, kerana keupayaan mereka untuk memproses lebih banyak sampel yang telah dihantar.

“Kita berharap sampel atau keputusan tertunggak ini akan dapat diselesaikan dalam tiga hingga empat hari. Jika ini berlaku, bermakna selepas ini kita berharap statistik lebih rendah,” katanya dalam sidang media di Wisma Innoprise di Kota Kinabalu malam ini.

Masidi berkata jumlah statistik Covid-19 di Sabah yang diumumkan hari ini sedikit sebanyak disumbang oleh sampel saringan ujian yang tertunggak.

Terdahulu, Masidi berkata berdasarkan laporan JKNS, terdapat 673 kes baru dicatatkan pada hari ini, dengan terdapat tiga kematian.

Beliau berkata jumlah kumulatif kes Covid-19 di Sabah adalah sebanyak 8,755 dan sehingga hari ini, seramai 3,223 pesakit dilaporkan telah sembuh, manakala 5,466 lagi sedang menerima rawatan dalam wad di seluruh Sabah.

Masidi turut mengingatkan rakyat Sabah untuk terus berdisiplin dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan seperti memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal, kerap membasuh tangan dan tidak keluar ke tempat awam sekiranya tiada perkara mustahak.

Badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta yang tampil memberi bantuan makanan kepada golongan memerlukan juga diingatkan untuk mematuhi SOP khususnya di zon merah bagi memastikan mereka berada dalam keadaan sihat dan selamat selain sebagai usaha memutuskan penularan wabak, katanya.

Dalam pada itu, Masidi berkata kerja-kerja pengagihan bakul makanan daripada kerajaan negeri kepada golongan sasar sedang berjalan lancar dan sehingga kini sebanyak 62,002 bakul makanan telah diagihkan.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS