Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Majlis Institut Akauntan mohon batal tindakan undang-undang berkaitan 1MDB

Majlis Institut Akauntan Malaysia (MIA) memfailkan permohonan untuk membatalkan tindakan undang-undang terhadapnya oleh juruaudit KPMG yang dituduh atas dakwaan “kelakuan tidak profesional" berkaitan dengan 1MDB.

Majlis MIA, melalui firma undang-undang Tetuan Mohanadass Partnership, memfailkan permohonan pembatalan itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 18 Sept lalu.

Pada 25 Ogos, portal berita bisnes dalam talian The Edge Markets melaporkan bahawa juruaudit KPMG Ahmad Nasri Abdul Wahab mendapat kebenaran dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk memulakan permohonan semakan kehakiman terhadap majlis MIA dan dua responden lain.

Dua responden lain merupakan lembaga rayuan tatatertib MIA dan MIA.

Menurut permohonan yang dilihat oleh Malaysiakini tengah hari tadi, majlis MIA membuat permohonan itu berdasarkan Aturan 18 kaedah 19 (1) (a) Kaedah-kaedah Mahkamah 2012.

Sebagai alternatif, majlis MIA meminta perintah di bawah Aturan 15 Kaedah 6 (2) (a) Kaedah-kaedah Mahkamah 2012, agar ia dikeluarkan sebagai responden dari tindakan undang-undang.

Majlis MIA juga antara lain mendakwa bahawa relif yang dimohon oleh Ahmad Nasri tidak sama sekali melibatkan majlis MIA.

Majlis MIA mendakwa bahawa institut tersebut (MIA), melalui jawatankuasa disiplinnya (DC) dan Lembaga Rayuan Disiplin (DAB), adalah badan pembuat keputusan dalam pendengaran DC dan DAB.

“Responden ketiga tidak ada penglibatan dalam semua peringkat Prosiding Tatatertib Pemohon,” menurut majlis MIA melalui permohonannya.

Ia juga mendakwa bahawa perintah penggantungan sementara Mahkamah Tinggi terhadap keputusan lembaga dan penerbitan hanya mengikat responden pertama dan kedua, iaitu lembaga rayuan disiplin MIA dan MIA, tanpa perlu menjadikan responden ketiga sebagai pihak dalam semakan kehakiman.

Berdasarkan senarai kausa yang diterbit dalam talian, pengurusan kes bagi permohonan pembatalan majlis MIA itu sebelum ini ditetapkan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Okt.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan respons dari peguam yang mewakili majlis MIA berhubung perkara itu. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS