Penyertaan Bersatu untuk menyertai Muafakat Nasional (MN) bakal dibincangkan melalui mesyuarat gabungan itu malam ini, kata setiausaha agung bersama sekretariat MN, Annuar Musa.
Menurutnya mesyuarat malam ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu akan disertai oleh Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.
"Mesyuarat selalunya dijalankan setiap dua minggu, namun sudah beberapa kali terbatal atas beberapa sebab termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
"Usul berkaitan kemasukan Bersatu secara rasmi dalam MN sememangnya sudah ada dalam minit mesyuarat sebelum ini dan ia akan dibincangkan malam ini," katanya yang dipetik oleh portal Berita Harian Online.
Bagaimanapun, menurut Annuar, tiada wakil Bersatu yang akan hadir kerana pihaknya sudah pun menerima jawapan rasmi serta kesediaan parti itu untuk menyertai MN melalui presidennya, Muhyiddin Yassin sebelum ini.
Sebelum ini, pada Ogos lalu, Muhyiddin mengumumkan parti pimpinannya selepas menyingkirkan Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan Pakatan Harapan bersetuju utnuk menyertai MN.
Sementara itu, Bernama pula memetik Annuar sebagai berkata memorandum persefahaman (MoU) perlu dirangka terlebih dahulu sekiranya Bersatu sah menyertai MN.
“Kita perlu draf MoU, piagam dan sebagainya, kalau betul Bersatu masuk MN... tentu tidak boleh ambil piagam lama dan kaedah baru perlu dibincangkan.
"Kerjasama Umno dan PAS sebelum ini sudah lama, justeru perlu ada draf MoU baru, selain piagam dan sebagainya.
"Sekiranya Bersatu masuk, kita akan bincang kerjasama,” katanya.
Sementara itu, Annuar yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno memaklumkan Zahid dan Muhyiddin selalu bertemu dan mengadakan perbincangan berkaitan kerjasama politik dalam Perikatan Nasional (PN).
“Setakat yang saya tahu, rundingan Umnodan Bersatu sedang berjalan dengan kedua-dua presiden selalu bertemu.
"Alhamdulilah semangat rundingan ada,” katanya ketika ditanya sama ada Umno dan Bersatu telah mencapai kata putus mengenai kerjasama politik dalam PN.
Pada Selasa lalu Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan berkata parti itu membuat pertimbangan untuk menarik diri daripada menyokong PN dan akan memberi syarat baru kepada gabungan berkenaan bagi meneruskan kerjasama politik secara perjanjian bertulis untuk dilaksanakan secepat mungkin.
Mengenai ura-ura berlaku rombakan Kabinet dalam kerajaan PN, Annuar berkata perkara itu tidak berbangkit dan ia mungkin hanya "cakap-cakap" pinggiran.
"Ia bukan perkara paling utama... paling utama sekarang adalah membentuk penyatuan dan perpaduan," katanya.