Bekas menteri sumber manusia M Kulasegaran memberi amaran bahawa ribuan rakyat Malaysia akan hilang pekerjaan sekiranya kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih sibuk berpolitik.
"Dilaporkan bahawa lebih 51,000 kedai runcit di negara ini akan ditutup dalam empat hingga lima bulan ke depan. Ini disebabkan oleh kesan awal perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), dan perniagaan mula beralih ke e-dagang.
"Ini secara langsung boleh mengakibatkan kehilangan pekerjaan melebihi 150,000 pekerja.
"Sektor peruncitan mungkin menghadapi penguncupan sistemik dalam jangka waktu tertentu kerana berkaitan dengan industri pelancongan yang paling terjejas akibat krisis Covid-19," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Di sebalik apa yang akan berlaku, namun, kata Ahli Parlimen Ipoh Barat itu, kerajaan pimpin Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin terus sibuk berpolitik dan gagal membantu industri peruncitan ini.
"Kerajaan persekutuan sibuk berpolitik gagal menghasilkan strategi yang berkesan untuk menyelamatkan industri ini.
"Kerajaan begitu sibuk merancang pengambilalihan Sabah dan merancang untuk menyelamatkan majoriti tipisnya di parlimen sehingga telah meninggalkan kebajikan pekerja dan perniagaan di Malaysia," katanya.
Menurut pemimpin DAP itu, kerajaan telah memperuntukkan AS$3.21 bilion (RM13.8 bilion) untuk subsidi upah dan sebagai perbandingan, Singapura pula memperuntukkan AS$14.6 bilion untuk memberi subsidi atau membiayai bersama upah pekerja dalam tempoh ketidaktentuan ekonomi.
"Subsidi upah di Singapura merangkumi semua pekerja, sementara di Malaysia hanya mereka yang berpendapatan di bawah RM4,000 layak mendapat subsidi gaji.

"Kelas profesional dan teknikal yang merangkumi 59 peratus daripada kehilangan pekerjaan, tidak dilindungi.
"Walaupun kadar pengangguran turun dari 5.3 peratus menjadi 4.7 peratus baru-baru ini, ia tidak menggambarkan keadaan perniagaan dan buruh sebenar di lapangan. Penutupan perniagaan dan pemberhentian pekerja masih berterusan," katanya.
Justeru, Kulasegaran menggesa kerajaan supaya memberi perhatian serius dan mengambil lebih banyak langkah untuk membendung pemberhentian dan penutupan perniagaan.