Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KKM hantar pegawai forensik HKL ke pantai timur Sabah
Diterbitkan:  Oct 18, 2020 12:27 PM
Dikemaskini: 8:15 AM

Kementerian Kesihatan (KKM) mengerahkan pegawai perubatan dari semenanjung bagi membantu tugas forensik dan pengurusan kematian akibat Covid-19 di kawasan pantai timur Sabah.

Dalam satu hantaran di Facebook, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan empat pegarai dari Institut Perubatan Forensik Negara, Hospital Kuala Lumpur (HKL) dihantar ke Hospital Tawau hari ini.

"Mereka terdiri daripada seorang pakar perubatan forensik, dua pegawai perubatan dan seorang penolong pegawai perubatan.

"Pasukan pakar ini akan menjalankan tugas perubatan forensik dan pengurusan kematian akibat Covid-19 di kawasan Timur Sabah. Bagi Pakar Perubatan Forensik tersebut, dia akan bertugas di Tawau selama 3 bulan," katanya hari ini.

Setakat semalam, KKM memaklumkan empat lagi pesakit meninggal dunia di Sabah - menjadikan hari kesepuluh berturut-turut kematian akibat Covid-19 dilaporkan di negeri itu.

Sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 38 pesakit Covid-19 meninggal dunia di negeri itu.

MOBILISASI PASUKAN PERUBATAN FORENSIK DARI SEMENANJUNG MALAYSIA KE NEGERI SABAH Seramai 4 orang pegawai dari Institut...

Posted by Noor Hisham Abdullah on Sabtu, 17 Oktober 2020

Setakat semalam, sebanyak 72 peratus daripada 122 katil ICU dan 32 peratus daripada 180 alat bantuan pernafasan sedang digunakan di sana. Bagaimanapun ia termasuk untuk kes tidak berkaitan dengan Covid-19.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata para petugas yang dihantar dalam keadaan bersiap-sedia untuk menjalankan tugas negeri itu.

"Bagi pihak rakyat Malaysia, terima kasih diucapkan kepada wira-wira negara ini," katanya lagi.

Semalam, Bernama melaporkan sejumlah 14,000 tan kelengkapan perubatan serta 73 pegawai dan anggota dihantar ke Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Tawau.

Hospital itu dikendalikan ATM sebagai sokongan terhadap hospital sedia ada, antaranya untuk merawat kes selain Covid-19 serta pembedahan trauma dan kecemasan.

'Khidmat pengkebumian percuma'

Di Sandakan, sejumlah lapan sukarelawan menawarkan perkhidmatan pengkebumian bagi mangsa Covid-19 secara percuma.

"Pastinya saya bimbang akan keselamatan saya dan pasukan saya. Tetapi perlu ada yang melakukannya dan saya sanggup membantu. Saya berdoa agar Tuhan melindungi kami," kata Yunizam Yusop seperti dipetik portal The Vibes.

Menurut laporan itu, Yunizam atau lebih dikenali sebagai Abam Botak adalah yang pertama menawarkan khidmat pengangkutan ke hospital secara percuma di Sandakan bagi mereka yang tidak mampu membayar tambang bas.

Ketika itulah dia melihat golongan miskin tegar juga tidak mampu menanggung belanja pengkebumian ahli keluarga mereka.

Bermula dengan sebuah van terpakai, Yunizam dan pasukannya telah membantu lebih 1,000 keluarga di daerah itu. Mereka kini memiliki tiga van jenazah untuk membantu penduduk di sana.

"Daripada pengalaman, saya melihat kedukaan ahli keluarga korban kerana tidak dapat memberi penghormatan terakhir. Mereka tak boleh lihat atau sentuh jenazah untuk kali terakhir. Ia benar-benar menyedihkan.

"Saya harap semua orang tempatan dapat bekerjasama dalam menghentikan penularan Covid-19 kerana saya tak ingin lagi melihat kematian akibat Covid-19 di Sandakan," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS