Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Surat Zahid sokong Anwar palsu, kata jurucakapnya
Diterbitkan:  Oct 17, 2020 4:52 PM
Dikemaskini: 9:55 AM

Umno menafikan surat tular mengatakan parti itu menyokong Presiden PKR, Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri dan menegaskan ia adalah palsu, kata jurucakap pejabat presiden Umno hari ini.

Ketika dihubungi, jurucakap berkenaan menafikan surat tersebut yang dikatakan ditandatangani Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Penafian itu juga dinyatakan dalam laman web Umno Online.

"Umno menafikan sekeras-kerasnya surat yang tular kononnya menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri ke-9," jelas kenyataan tersebut.

Sementara itu Setiausaha Eksekutif Umno, Mohd Sumali Reduan berkata surat rasmi Umno tidak akan dikeluarkan tanpa nombor rujukan - yang tidak terdapat pada surat yang tular tersebut.

Selain tandatangan Zahid, surat itu juga dikatakan ditandatangani bekas presiden Umno, Najib Razak.

Semalam, MalaysiaNow melaporkan bahawa Najib dan Zahid menyerahkan surat kepada Seri Paduka bagi menunjukkan sokongan Umno kepada Anwar.

Portal tersebut memetik sumber mengatakan kepimpinan Umno peringkat tinggi telah membocorkan kandungan surat berkenaan.

Bagaimanapun Astro Awani memetik kenyataan Naib presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin yang menyifatkan surat tersebut sebagai spekulasi semata-mata.

Anwar pada 23 Sept lalu mendakwa memperoleh majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baru.

Tidak lama selepas itu, Zahid mengesahkan terdapat ramai ahli parlimen Umno menyokong Anwar dan parti itu tidak dapat menghalang mereka.

Ini menimbulkan kebimbangan, terutama dalam DAP sekiranya Anwar bekerjasama dengan Zahid yang menghadapi 47 tuduhan pengubahan wang haram, rasuah dan pecah amanah di mahkamah.

Pada 13 Okt lalu, Umno mempertimbangkan untuk menarik diri daripada menyokong Perikatan Nasional (PN) dan sebaliknya memberikan syarat baru kepada gabungan itu bagi meneruskan kerjasama.

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin ketika ini memiliki majoriti tipis dengan memperolehi 113 sokongan daripada jumlah keseluruhan 222 anggota parlimen.

Semalam, Muhyiddin dilapor meminta Umno memperincikan syarat baru mengenai kerjasama politik dengan PN.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS