Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Syarikat fail saman pada penduduk, dakwa halang 'ambil hasil hutan'

Syarikat pembalakan Beijing Million Sdn Bhd dan Rosah Timber & Trading Sdn Bhd memfailkan saman terhadap penduduk Kampung Baharu di Jerantut, Pahang atas dakwaan menghalang pekerja dan kontraktor mereka daripada masuk mengambil hasil hutan berhampiran kawasan tersebut.

Dua syarikat itu memfailkan writ saman di Mahkamah Tinggi Malaya Kuantan pada 14 Julai lalu, menerusi firma guaman Tetuan Jacob Goldie S.S Chew.

Menurut salinan writ saman itu, mereka antara lain memohon satu injunksi dikeluarkan terhadap lapan defendan - iaitu penduduk kampung tersebut - agar mereka dilarang daripada terus menghalang plaintif kawasan hutan yang dikenali sebagai kompartment 1A Hutan Simpan Jerantut Tambahan di mukim Tebing Tinggi di sana, yang berkeluasan 202.61 hektar.

Plaintif juga memohon agar mahkamah melarang defendan daripada memberi dan/atau menyebabkan maklumat dan gambar yang didakwa tidak benar daripada diterbitkan di laman Facebook “Bantah pembalakan di kawasan tadahan air di Kampung Baharu, Jerantut, Pahang” atau mana-mana media lain.

“Menganggu dan/atau mencampurtangan dengan kelulusan yang diberi oleh Pejabat Hutan kepada plaintif-plaintif melalui surat-surat bertarikh 15 September 2019.

“Menyebabkan kacau ganggu kepada kerja-kerja plaintif-plaintif dan apa acara pun termasuk secara fizikal, sesawang am dan/atau komunikasi dengan pihak-pihak berkuasa,” menurut writ saman tersebut.

Lapan defendan itu ialah Mohamed Said, Mohamed Zarrif Mahmud, Mohamad Hafizi Rosnan, Saifulnizam Sulaiman, Sukmarizal Nazman, Shukran Firdaus Nazman, Mohammad Zakirin Hasan dan Mohamad Lozi Mohd Nasir.

Menurut writ saman itu lagi, pada April 2019, plaintif mendapat tahu bahawa terdapat hantaran di laman Facebook atas nama “Bantahan Pembalakan Tadahan Air di Kg Baharu, Jerantut Pahang” yang membuat beberapa dakwaan serius seperti pembalakan di kawasan tadahan air dan merosakkan khazanah hutan.

Plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan, kos serta faedah atas kos, lain-lain relif yang dianggap perlu dan sesuai oleh mahkamah.

Defendan: Jejas pendapatan, alam sekitar

Bagaimanapun, afidavit oleh defendan ketiga Mohamad Hafizi Rosnan yang dilihat Malaysiakini menyatakan berkenaan permohonan meminda pembelaan dan tuntutan balas yang telah difailkan di mahkamah.

Afidafit bertarikh 28 September itu menyatakan bahawa plaintif secara salah dengan niat buruk telah memulakan tindakan writ itu dan secara salah membuat permohonan injuksi secara ex-parte (bersifat sebelah pihak) melalui notis permohonan tanpa sebarang notis diberikan kepadanya dan defendan lain.

“Saya ingin menyatakan bahawa saya dan defendan lain percaya bahawa tujuan jahat plaintif kemungkinan besar adalah untuk menafikan hak defendan membawa bantahan dan isu yang harus diambil kira dengan wajar, yang mungkin sebelum ini gagal di ambil kira.

“Harapan defendan adalah kawasan hutan, yang terletak berhampiran atau yang defendan dan penduduk setempat bergantung untuk hidup, akan terus dikekalkan hutan simpanan tetap dan tidak dibenarkan membalak (di sana),” katanya.

Menurut Mohamad Hafizi, jika plaintif dibenarkan untuk meneruskan kegiatan membalak di sana, penduduk setempat akan menanggung kerugian yang tidak terkira meliputi perniagaan dan aktiviti ekonomi dan menyebabkan kolam ikan dan pembenihan ikan akan rosak.

Malah, katanya lagi, bantahan penduduk terhadap pembalakan di kawasan hutan simpan atau hutan simpan tetap di sana dilakukan secara aman dan sah, dengan berhubung dengan pihak berkuasa dan/atau kerajaan yang bertanggungjawab.

Selain itu, dia mempersoalkan bagaimana dan bila status hutan simpan itu ditukar sehingga aktiviti pembalakan dibenarkan, memandangkan sebarang keputusan harus melibatkan konsultasi bersama rakyat terutama penduduk sekitar.

“Saya ingin menyatakan bahawa kawasan hutan tersebut adalah hak milik kerajaan Negeri Pahang, kerajaan DYMM Sultan Pahang.

“Saya tidak percaya kerajaan Pahang tidak buat penilaian impak alam sekitar (EIA) dan/atau penilaian impak alam sekitar terperinci (DEIA) dan penilaian impak sosial berhubung kesan pembalakan kepada alam sekitar dan penduduk.

“Saya masih belum dapat akses kepada dokumen tersebut yang amat perlu untuk para penduduk menilai dan mengkaji,” katanya.

Sebutan semula kes dijadualkan pada 22 Oktober di Mahkamah Tinggi Kuantan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS