Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Speaker perlu betulkan keputusan hanya media terpilih buat liputan parlimen'
Diterbitkan:  Oct 16, 2020 7:17 PM
Dikemaskini: 11:17 AM

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil meminta Yang di-Pertua (YDP) Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun mempertimbang semula keputusan pentadbir parlimen untuk membenarkan hanya 15 organisasi media terpilih membuat liputan semasa sidang Dewan Rakyat yang akan bermula 2 November ini.

Kata ahli parlimen Lembah Pantai itu lagi, sidang parlimen kali ini merupakan waktu terpenting untuk mendapat liputan lebih banyak media kerana akan membentang dan membahaskan Belanjawan 2021, terutamanya ketika ekonomi negara terkesan oleh wabak Covid-19.

Tambahnya, yang menjadi kerisauan, arahan tersebut bakal menimbulkan salah faham bahawa Parlimen mengekang kebebasan media.

"Kehadiran pelbagai media di Parlimen ini penting, terutama dari sudut kebebasan bersuara.

"Malah yang saya risaukan arahan ini bakal menimbulkan salah faham dengan membayangkan Parlimen mengekang kebebasan bersuara pengamal media dan hanya membenarkan pandangan rasmi sahaja diterbitkan.

“Perlu diingatkan bahawa media adalah estet keempat dan salah satu tiang seri demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pentadbir Parlimen Malaysia memutuskan bahawa hanya 15 organisasi media yang dibenarkan membuat liputan persidangan Dewan Rakyat itu bagi mengekang penularan Covid-19 dan memenuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Mengulas alasan itu, Fahmi berkata, sekiranya faktor ruang yang menjadi pertimbangan Parlimen, menurutnya banyak lagi ruang yang boleh diubah suai bagi memuatkan semua petugas media tanpa melanggar SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Contohnya, aju Fahmi, bilik-bilik jawatankuasa di bangunan sementara, ruang di Dewan Rakyat sementara, malah bangunan pejabat ahli-ahli Parlimen boleh diubah suai dengan mudah, malah khemah khas juga boleh didirikan seperti yang biasa dilakukan untuk VIP semasa program kementerian di Parlimen.

“Bak kata pepatah: Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih,” katanya lagi.

Justeru, Fahmi memohon Azhar untuk mempertimbang semula arahan berkenaan bukan sahaja demi kebebasan bersuara seperti termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi juga demi kemuliaan Dewan Rakyat itu sendiri.

“Masa masih ada, dan saya lihat Azhar, YDP Dewan Rakyat, boleh membetulkan keadaan,.

“Datuk Speaker, pertahankan hak media!” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS