Dalam usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi dan kehidupan rakyat daripada kejutan pandemik Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP), kerisauan terhadap peningkatan defisit fiskal dan hutang kerajaan sudah mula nampak jelas.
Namun, sekarang bukan masa yang sesuai untuk pihak kerajaan menyekat perbelanjaan mereka demi kepentingan rakyat yang sudah ramai terjejas dan juga negara.
Menurut Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, defisit fiskal pada tahun ini dijangka meningkat antara 5.8 dan enam peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Dalam pada itu, pakar ekonomi tempatan menjangkakan defisit fiskal yang lebih tinggi, di antara 6.5 peratus dan 7.5 peratus setelah mengambil kira semua pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM305 bilion yang telah diumumkan oleh kerajaan.
Memandangkan defisit fiskal dijangkakan lebih tinggi, hutang kerajaan juga dijangka akan meningkat pada tahun ini.
Nisbah hutang kepada KDNK sekarang berada pada 53 peratus daripada KDNK dan dijangkakan meningkat sekitar 56 peratus daripada KDNK untuk tahun ini. Namun, jangkaan ini masih rendah berbanding dengan had hutang negara yang telah diluluskan oleh parlimen pada bulan Ogos iaitu 60 peratus daripada KDNK.
Malah Malaysia sebelum ini telah menaikkan had hutang statutori ketika krisis kewangan global kepada 45 peratus daripada 40 peratus pada Jun 2008 dan seterusnya 55 peratus pada Julai 2009.
Menurut pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan Sosioekonomi (Serc) Lee Heng Guie, had siling hutang yang telah ditetapkan pada bulan Ogos itu membolehkan kerajaan untuk membuat pinjaman tambahan bernilai RM70 bilion ke RM75 bilion.
Walaupun paras hutang akan menjadi lebih tinggi, kegawatan ekonomi pada ketika ini memerlukan langkah rangsangan yang tidak pernah diambil sebelum ini. Keutamaan kerajaan sekarang adalah untuk menyelamatkan nyawa dan kehidupan masyarakat yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.
Lebih spesifik lagi, perbelanjaan kerajaan perlu ditingkatkan untuk merancakkan perbelanjaan domestik yang sedang suram kerana batasan dalam pergerakan dan keadaan ekonomi yang tidak mengizinkan.
Isu moratorium ini juga telah rancak dibincangkan semasa perbincangan kumpulan fokus (focused group discussion) Emir Research untuk kaji selidik suku ketiga tahun ini. Semasa perbincangan tersebut, para peserta berpendapat bahawa pihak kerajaan perlu berusaha habis-habisan bagi menyelamatkan golongan masyarakat yang tidak bernasib baik terutamanya mereka yang sedang menganggur tanpa memikirkan defisit fiskal yang akan meningkat.
Pada masa yang sama, mungkin ada yang risau tentang kesan perbelanjaan negara yang tinggi tetapi setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya.
Bajet 2021
Kerajaan masih boleh memperbaiki kedudukan kewangan negara pada masa hadapan dan masih ada ruang untuk berbelanja kerana had hutang sudah dinaikkan kepada 60 peratus. Dalam sejarah, defisit fiskal pernah mencapai kadar yang lebih tinggi pada 6.7 peratus daripada KDNK semasa krisis kewangan global.
Tambahan lagi, Tengku Zafrul sendiri menyatakan bahawa kedudukan fiskal negara boleh diseimbangkan kepada posisi yang lebih baik setelah keadaan ekonomi pulih.
Sememangnya Bajet 2021 pada 6 November merupakan masa yang baik bagi pihak kerajaan untuk mengumumkan langkah-langkah yang akan diambil untuk memperbaiki hasil pendapatan negara supaya masyarakat dapat bersiap sedia untuk apa sahaja yang bakal berlaku.
Kebocoran wang kerajaan atau perbelanjaan yang tidak penting juga harus dipantau bagi memastikan tidak berlaku pembaziran. Selain itu, emolumen kakitangan awam yang merupakan bahagian terbesar dalam perbelanjaan mengurus (34.3 peratus) mungkin boleh dipotong.
Akhir sekali, rangka kerja fiskal untuk jangka masa sederhana perlu dirancang bagi memperkuat disiplin fiskal dengan cadangan untuk mengembangkan hasil pendapatan negara melalui perubahan cukai seperti pengenalan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) ataupun memperluas cukai jualan dan perkhimatan (SST). Tetapi, pelaksanaan harus dilakukan pada waktu yang sesuai dan tepat.
SOFEA AZAHAR merupakan penganalisis penyelidik di Emir Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.