Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
4 lagi kluster baru, 75 kluster aktif
Diterbitkan:  Oct 15, 2020 8:30 PM
Dikemaskini: 1:15 PM

Empat lagi kluster baru Covid-19 dikenal pasti hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kluster aktif di Malaysia adalah sebanyak 75, setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata empat kluster itu adalah Kluster Olive (Sabah), Kluster Bah Pasir (Negeri Sembilan dan Putrajaya), Kluster Bah Pengkalan di Perak dan Kluster Saguking di Labuan.

“Kluster Olive melibatkan daerah Hulu Langat (Selangor), daerah Kota Marudu dan Penampang (Sabah). Kes indeks bagi kluster ini (kes ke-11,489) dikenal pasti di Selangor hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah).

“Kes dikesan positif pada 2 Okt dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh manakala saringan kontak rapat mendapati 16 lagi kes positif,” katanya pada sidang media maya disiarkan di laman Facebook Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

Dr Noor Hisham berkata Kluster Bah Pasir pula melibatkan daerah Port Dickson (Negeri Sembilan) dan Putrajaya, dengan kes indeks bagi kluster itu (kes ke-14,329) dikenal pasti hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah).

“Kes (indeks) dikesan positif pada 8 Okt dan dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban. Saringan kontak rapat mengenal pasti empat lagi kes positif. Sehingga 15 Okt, 12 tengah hari ini, sejumlah 82 individu disaring,“ katanya.

Katanya, daripada jumlah itu lima kes dikesan positif, 74 individu negatif manakala tiga individu masih menunggu keputusan.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata berkata kes indeks (kes ke-14,345 dan ke-14,346) bagi Kluster Bah Pengkalan di Perak melibatkan daerah Hulu Perak, turut dikenal pasti hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah).

Katanya, kes indeks (positif pada 8 Okt) dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dan saringan kontak rapat mengenal pasti lima lagi kes positif.

Sehingga 12 tengah hari ini, sejumlah 330 individu disaring, dengan enam kes dikesan positif, 47 individu negatif dan 277 individu masih menunggu keputusan, katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Kluster Saguking (Labuan) pula melibatkan daerah Labuan dengan kes indeks (kes ke-15657) dikenal pasti positif hasil saringan setelah dimasukkan ke Hospital Labuan pada 11 Okt lepas dan saringan kontak rapat mengenal pasti empat lagi kes positif.

Katanya, sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 43 individu disaring dengan lima kes dikesan positif manakala tiga individu negatif dan 35 individu masih menunggu keputusan. 

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS