Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kluster baru libatkan daerah di S'gor, KL, Johor
Diterbitkan:  Oct 14, 2020 7:52 PM
Dikemaskini: 12:21 PM

Satu lagi kluster baru, Kluster Kencana, dikenal pasti melibatkan daerah Hulu Langat, Petaling, Klang dan Gombak di Selangor, Cheras (Kuala Lumpur) serta daerah Johor Bahru, Batu Pahat dan Pontian di Johor.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes indeks bagi kluster itu (iaitu kes ke-13,805) didapati positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 7 Okt, dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, serta saringan kontak rapat mendapati 16 lagi kes positif Covid-19.

“Sehingga 12 tengah hari ini, sejumlah 23 individu telah disaring dan daripada itu 17 kes dikesan positif manakala empat individu negatif dan dua individu masih menunggu keputusan,” katanya pada sidang media maya yang disiarkan di laman Facebook Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

Oleh itu, pertambahan kluster baru hari ini menjadikan jumlah kluster aktif Covid-19 negara adalah sebanyak 71.

Dr Noor Hisham berkata, susulan peningkatan jumlah kes dan kluster aktif, terdapat beberapa daerah di Semenanjung Malaysia berubah menjadi zon kuning dan merah.

Setakat hari ini katanya, sebanyak 52 daerah dilaporkan sebagi zon kuning dan sebanyak 19 daerah menjadi zon merah di seluruh Semenanjung Malaysia.

“Pelbagai tindakan diambil Kementerian Kesihatan misalnya dengan menjalankan Pengesanan Kes Aktif (ACD), meneruskan aktiviti-aktiviti survelan di klinik-klinik sentinel dan hospital-hospital, aktiviti pembersihan dan nyahkuman, serta meningkatkan ujian, pengesanan, pengasingan dan rawatan,” katanya.

Beliau berkata, KKM dengan kerjasama pelbagai agensi berusaha memberikan penjelasan, khidmat nasihat dan didikan kepada masyarakat, agar terus membudayakan norma baru kehidupan, seterusnya memutuskan rantaian penularan jangkitan di dalam komuniti.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS