Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KKM pastikan stok PPE cukup di setiap hospital
Diterbitkan:  Oct 13, 2020 10:13 PM
Dikemaskini: 2:28 PM

Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kementerian akan memastikan penghantaran peralatan pelindung diri dilakukan segera, kerana beberapa hospital di Sabah hanya mempunyai beberapa jenis PPE yang dapat bertahan selama beberapa hari lagi.

Beliau berkata KKM memang memiliki stok peralatan, yang telah diperkuat dengan memberi kuasa kepada Jabatan Kesihatan Sabah untuk membuat perolehan kecemasan.

"Stok masih ada di Kementerian Kesihatan jadi apa yang perlu kita laksanakan adalah pemantauan di setiap hospital untuk memastikan stok adalah mencukupi di setiap hospital.

"Yang kedua ialah untuk penghantaran iaitu menghantar stok kita ke hospital yang ada kekurangan PPE.

"Jadi isu yang kita ada ialah masalah stok. Jadi kalau kita lihat kepada stok kita tak ada masalah dan kita juga telah mengizinkan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah untuk memperolehi PPE secara darurat dan pertambahan stok telah dijalankan ketika itu dan sekarang ini kita cukup stok.

"Tetapi usaha kedua ialah untuk pastikan kita dapat menghantarkan stok kepada atau PPE kepada hospital yang ada kekangan ataupun kekurangan PPE.

"Jadi kita akan sentiasa pastikan PPE dapat dihantar ke semua hospital," katanya menjawab soalan daripada Malaysiakini.

Semalam, Noor Hisham berkata rata-rata, hospital kementerian mempunyai bekalan dua hingga tiga bulan untuk semua 19 jenis PPE, yang meliputi barang-barang seperti sarung tangan, topeng bedah, alat pernafasan N95, kacamata, dan gaun pengasingan.

Bagaimanapun, beberapa hospital di Sabah berada dalam keadaan berbeza berbanding hospital lain.

Menurut beliau semalam, Hospital Tawau cuma memiliki enam hari saja bagi bekalan alat pernafasan N95 sejak 10 Oktober.

Alat pernafasan merupakan perkakas perlindungan pekerja penjagaan kesihatan yang merawat pesakit Covid-19, khususnya ketika prosedur perubatan tertentu, misalnya pada tempoh intubasi.

Setakat semalam, Tawau, daerah dengan kes tinggi Covid-19 di Sabah, memiliki 415 kes baru.

Hospital Lahad Datu pula hanya memiliki bekalan apron plastik untuk satu hari sahaja, manakala Hospital Wanita Dan Kanak-Kanak Sabah cuma memiliki bekalan gaun pengasingan untuk 10 hari.

Ketika Malaysia menghadapi gelombang kedua penularan Covid-19 pada bulan Mac, Noor Hisham mengakui beberapa hospital kekurangan PPE dan beberapa hospital telah menggunakan PPE 'sementara'.

Pada waktu itu, beliau menjelaskan Malaysia memiliki stok penutup muka dan PPE yang cukup, tetapi kekurangannya disebabkan oleh masalah pengagihan.

[Baca berita asal]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS