- Dikemas kini dengan perkembangan semasa.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dijadual mengadap Yang di-Pertuan Agong esok, kata sumber parti.
Presiden MIC SA Vigneswaran pula akan menghadap Yang di-Pertuan Agong dalam masa terdekat, kata sumber parti.
“Seperti semua ketua-ketua parti lain presiden MIC pun diperkenan untuk menghadap Seri Paduka dalam masa dua hari ini,” katanya sumber itu.
Bagaimanapun, setakat laporan ini ditulis, beberapa parti lain memberitahu Malaysiakini bahawa mereka belum mendapat maklumat untuk mengadap, susulan pertemuan Presiden PKR Anwar Ibrahim pagi ini.
“Tak betul,” kata Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan ketika dihubungi Malaysiakini.
Presiden Amanah Mohamad Sabu pula ketika dihubungi sebentar tadi memaklumkan perkembangan sama.
“Belum dipanggil, belum ada apa-apa maklumat,” katanya.
Mereka mengulas spekulasi ketua-ketua parti akan dipanggil mengadap Agong susulan sembah mengadap Anwar sebentar tadi.
Anwar sebelum ini berkata dia akan mempersembahkan sokongan diperoleh pada Agong untuk membentuk kerajaan baru.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi Istana Negara dan parti-parti lain yang dikatakan akan mengadap Agong hari ini.