Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Institusi pendidikan di Sabah, Selangor, KL dan Putrajaya ditutup

Semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KKM) di Sabah ditutup mulai hari ini, manakala untuk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, ia ditutup mulai Rabu.

Tindakan itu diambil KPM susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

KPM dalam kenyataan malam tadi memaklumkan pihak yang terlibat ialah semua institusi pendidikan yang berdaftar dengan kementerian itu - termasuk tadika, sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah swasta, kolej vokasional dan institut pendidikan guru (IPG).

Bagi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, kata KPM, semua institusi pendidikan yang berdaftar dengan mereka akan ditutup hingga 27 Okt manakala di Sabah hingga 26 Okt.

“Di Sabah keputusan ini akan melibatkan 1,336 institusi dengan 511,349 pelajar termasuk institusi yang telah ditutup di daerah-daerah yang dikenakan PKPB sebelum ini.

“Di Selangor pula akan melibatkan 1,088 institusi pendidikan dan 935,984 pelajar termasuk sekolah di mukim Klang dan Petaling yang ditutup lebih awal.

"Danakala di Kuala Lumpur pula ia melibatkan 344 institusi pendidikan serta 254,639 pelajar dan di Putrajaya melibatkan 29 institusi pendidikan dengan 31,917 pelajar,” jelas kenyataan itu.

Kenyataan itu menjelaskan penutupan berkenaan juga akan melibatkan institusi pendidikan di bawah KPM yang mempunyai asrama.

Sehubungan itu ibu bapa atau penjaga boleh mengambil murid atau pelajar yang tinggal di asrama untuk pulang.

“Pelajar yang menunggu untuk diambil ibu bapa atau ingin terus kekal berada di asrama sepanjang tempoh penutupan akan berada di bawah penjagaan warden asrama.

“Keperluan makan dan minum mereka sepanjang tempoh itu akan disediakan oleh pihak institusi pendidikan. Bagi ibu bapa atau penjaga yang hanya dapat mengambil murid atau pelajar dari asrama semasa tempoh PKPB, mereka perlulah memaklumkan kepada pihak institusi pendidikan dan seterusnya pentadbir akan mengeluarkan surat kepada ibu bapa atau penjaga,” katanya.

Menurut KPM surat yang dikeluarkan oleh pentadbir itu adalah sebagai rujukan kepada pihak berkuasa jika ibu bapa perlu merentas daerah untuk mengambil murid atau pelajar pulang dari asrama.

“Bagi murid-murid yang perlu menduduki peperiksaan antarabangsa seperti yang dijadualkan sepanjang tempoh PKPB, mereka hendaklah mendapatkan surat dari sekolah masing-masing untuk menghadiri peperiksaan.

“Pembelajaran bagi murid dan pelajar sepanjang tempoh penutupan juga perlu diberi perhatian. Justeru, pentadbir institusi pendidikan diarah untuk memastikan guru-guru atau pensyarah serta murid atau pelajar, melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah,” menurut kenyataan itu.

Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM www.moe.gov.my

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS