Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKPB perlu untuk putuskan penularan di S'gor, KL, Putrajaya - KKM

Perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang diumumkan kerajaan petang ini adalah kaedah terbaik untuk memutuskan penularan Covid-19 di Lembah Klang daripada terus menular ke semua daerah

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, meskipun jumlah direkodkan kurang dari 100 kes bagi Lembah Klang, namun ia secara konsisten mencatatkan kes baru setiap hari.

"Penting untuk kita faham bahawa penilaian risiko sama ada teruk atau tidak situasi pandemik di sesebuah negeri itu bukan hanya sekadar melihat bilangan kes positif tetapi juga corak penularan jangkitan tersebut di dalam negeri itu.

"Sekiranya penularan jangkitan hanya tertumpu kepada satu atau dua daerah sahaja, pendekatan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) bersasar mungkin boleh dilaksanakan.

"Bagaimanapun jika penularan jangkitan telah menular ke setiap daerah di dalam negeri tersebut dan terus merekodkan kes-kes baharu setiap hari, ini bermakna penularan jangkitan itu tidak lagi dapat dibendung dengan berkesan.

"Oleh itu, pendekatan yang terbaik untuk memutuskan rantaian penularan jangkitan ini adalah dengan melaksanakan PKPB di seluruh negeri itu supaya penularan jangkitan rentas daerah ataupun negeri dapat dikawal dan dibendung dengan lebih berkesan," katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung di Facebook, petang tadi.

Noor Hisham juga mengakui peringatan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) agar tidak menggunakan sekatan sebagai kaedah utama untuk mengendalikan virus kerana boleh memberi kesan kepada kemiskinan, jelasnya ketika ditanya mengenai perkara itu.

Jelasnya ia adalah cabaran bagi Kementerian Kesihatan untuk mencapai keseimbangan antara kehidupan dan mata pencarian masyarakat, katanya.

Katanya, untuk mencapai keseimbangan antara keselamatan dan ekonomi rakyat, kerajaan memilih untuk melaksanakan PKP bersyarat.

"Kami melonggarkan dari segi PKP bersyarat, di mana kami membiarkan sektor ekonomi berfungsi tetapi kami menyekat pergerakan untuk sektor sosial, pendidikan dan juga sukan.

"Penting bagi kita untuk membuat keputusan yang tepat agar kita dapat seimbangkan antara kehidupan dan mata pencarian dan inilah yang sedang kita lakukan sekarang dan kita berharap tindakan kita akan membuahkan hasil dalam masa dua hingga tiga minggu," katanya.

Terdahulu, Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa kerajaan akan mengenakan PKP bersyarat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, berkuat kuasa 12.01 pagi pada hari Rabu (14 Okt) hingga 27 Oktober 2020.

Ismail juga turut mengumumkan bahawa Sabah juga akan berada di bawah PKP bersyarat mulai 12.01 pagi pada hari Selasa (13 Okt) hingga 26 Okt 2020.

Namun, kerajaan negeri Selangor terkejut dengan keputusan Putrajaya untuk mengenakan semula PKP bersyarat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata hanya beberapa daerah di Lembah Klang yang mencatatkan jumlah kes Covid-19 yang membimbangkan.

[Baca laporan asal]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS