Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Amanah serah pada kebijaksanaan Agong - Mat Sabu
Diterbitkan:  Oct 12, 2020 6:53 PM
Dikemaskini: 10:59 AM

Amanah menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdulllah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membuat keputusan berhubung dakwaan Presiden PKR, Anwar Ibrahim memiliki sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata parti itu yakin Seri Paduka cukup arif dalam menguruskan perkara itu.

"Amanah juga menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Ke Bawah Duli Tuanku Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan dalam hal ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohamad, pimpinan Amanah akan bermesyuarat bagi menentukan arah tuju parti itu susulan perkembangan terbaru tersebut..

Dalam pada itu Mohamad turut menyeru seluruh rakyat Malaysia khususnya ahli-ahli Amanah agar bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi atau kenyataan yang boleh mengguriskan hati mana-mana pihak.

Terdahulu, Anwar diperkenankan untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong esok bagi mempersembahkan butiran bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun beberapa pihak, termasuk anggota parlimen Umno mempertikaikan dakwaan bahawa anggota parlimen Port Dickson itu mempunyai sokongan mencukupi bagi membentuk kerajaan.

Pada 23 Sept lalu, Anwar pada satu sidang media mendakwa mempunyai sokongan yang "kukuh dan menyakinkan" untuk menubuhkan kerajaan persekutuan dan mempunyai "dokumen tetap yang tidak boleh diragui" bagi membuktikannya.

Dia turut berkata telah diperkenan untuk mengadap Al-Sultan Abdullah sehari sebelum itu tetapi terpaksa ditangguhkan susulan kegeringan baginda.

Seri Paduka dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) sejak 21 Sept dan berangkat pulang ke Istana Negara pada 3 Okt lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS