Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Felda Umas di Tawau kawasan terbaru PKPD
Diterbitkan:  Oct 12, 2020 5:44 PM
Dikemaskini: 9:46 AM

Kerajaan hari ini mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Felda Umas, Tawau yang akan berkuatkuasa jam 12.01 tengah malam ini sehingga 26 Okt.

Menteri Kanan (Kluster keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD berkenaan akan melibatkan 800 buah rumah dengan seramai 17,549 penduduk.

Dengan pelaksanaan perintah ini semua penduduk dikehendaki mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Antaranya, semua penduduk di kawasan terlibat tidak dibenarkan keluar daripada rumah dan semua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup.

"Bagi kes kecemasan seperti sakit dan kematian, mereka dibenarkan untuk keluar zon tetapi perlu mengemukakan permohonan pergerakan kepada PDRM," kata Ismail.

Sementara itu katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) akan melakukan saringan secara bersasar kepada semua penduduk yang terlibat.

Manakala bekalan keperluan makanan akan diagihkan oleh kerajaan negeri yang akan dikoordinasi Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri.

"Bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Pihak Berkuasa Tempatan dan pegawai yang diberi kuasa, akan mengawal seluruh kawasan terlibat," katanya.

Semalam, Ismail mengumumkan dua kawasan di Lahad Datu akan diletakkan bawah PKPD bermula 13 hingga 26 Okt.

Dua kawasan itu adalah Taman Khazanah Indah dan PPR Mutiara Kasih dan melibatkan 5,452 penduduk.

Kerajaan sebelum itu turut mengumumkan PKPD di enam mukim di Semporna dan satu mukim di Kunak Sabah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS