Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan pertimbang perkukuh bantuan tunai langsung lepas Belanjawan 2021

Kerajaan dijangka mempertimbangkan untuk mengukuhkan bantuan tunai langsungnya kepada rakyat, terutamanya selepas Belanjawan 2021, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata kerajaan kini dalam perbincangan dengan pihak berkepentingan yang berkaitan, termasuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mengenai penambahbaikan kepada program subsidi upah, berikutan pelbagai aspek perlu diambil kira, termasuk perbezaan upah yang sedia ada di Malaysia.

“Misalnya, Sistem Insurans Pekerjaan (EIS) adalah untuk PERKESO dan pada masa sama, Program Subsidi Upah (Subsidi Upah 2.0) adalah daripada kerajaan dan ia berdasarkan pendekatan bersasar berdasarkan sektor tertentu,” katanya pada Sidang Kemuncak Ekonomi Malaysia 2020 hari ini.

Sesi itu dikendalikan oleh Pengerusi Bursa Malaysia Bhd Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Tengku Zafrul menjawab soalan sama ada kerajaan akan mempertimbangkan langkah untuk mengukuhkan program respons krisis langsung yang sedia ada, terutamanya pemberian PENJANA, upah, dan skim pembayaran kepada penstabil automatik yang sama dengan negara lain.

Langkah pengukuhan itu dijangka mengurangkan masa antara kehilangan pendapatan dan keyakinan dalam kalangan rakyat. Pada masa sama, pengukuhan akan menyelaraskan pentadbiran dalam pelbagai jaringan keselamatan sosial.

Kerajaan telah melanjutkan Subsidi Upah 2.0 selama tiga bulan lagi hingga Disember 2020 untuk memberikan sokongan yang amat diperlukan bagi industri mengekalkan perniagaan mereka dan melindungi pekerjaan, selain membantu perniagaan menghadapi cabaran pemulihan pada separuh kedua tahun 2020, terutamanya dari segi jualan eksport dan domestik yang diunjurkan rendah.

Di bawah Kerangka Inisiatif Tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Kita Prihatin), kerajaan melanjutkan Program Subsidi Upah 2.0 dengan peruntukan tambahan sebanyak RM2.4 bilion yang dijangka memberi manfaat kepada 1.3 juta pekerja.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS