Polis membuka dua kertas siasatan terhadap Tropicana Golf and Country Resort selepas didapati ingkar arahan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menutup operasinya semalam.
Ini selepas 23 pekerja di kelab golf berkenaan diuji positif Covid-19 termasuk 12 orang yang disahkan positif hari ini.
""Kementerian Kesihatan mengeluarkan surat arahan tutup operasi kepada pengurusan kelab golf kelmarin, namun pemeriksaan semalam mendapati operasi berjalan seperti biasa.
"Susulan itu, Kementerian Kesihatan membuat laporan polis di Balai Polis Damansara, bagi membolehkan polis menjalankan siasatan," kata ketua polis daerah Petaling Jaya, Nik Ezanee Mohd Faisal seperti dilapor BH Online.
Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan perbuatan yang menyebabkan merebaknya penyakit membahayakan nyawa.
"Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)," katanya.
Beliau berkata, proses saringan ke atas semua penghuni asrama berkenaan akan dijalankan Kementerian Kesihatan pada Rabu ini.