Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Majlis Tertinggi (MT) Umno tidak mengadakan sebarang mesyuarat bagi membincangkan langkah Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi menjelaskan sokongan yang diterimanya.

Umno sehingga kini berpegang kepada keputusan yang dibuat parti itu tidak akan bekerjasama dengan DAP dan Anwar.

Ahli MT Umno, Armand Azha Abu Hanifah ketika dihubungi mengesahkan tiada sebarang mesyuarat diadakan bagi membincangkan isu berkenaan.

"Tiada (sebarang mesyuarat). Saya konsisten sejak awal hingga kini.

"Sebagai pemimpin Umno saya berpendirian teguh (Umno) tidak akan bersama DAP dalam apa jua situasi," katanya kepada Malaysiakini.

Pada 8 Okt, Anwar mengesahkan bahawa dia akan mengadap Yang di-Pertuan Agong pada 13 Okt (Selasa) untuk mempersembahkan butiran bahawa dirinya mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

“Saya ingin menjunjung kasih kerana Ke bawah Duli Tuanku telah memperkenankan untuk saya mengadap pada hari Selasa, 13 Oktober, Insya-Allah.

“Pada majlis mengadap tersebut saya akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan seperti mana yang saya sebut sebelum ini,” katanya menerusi satu kenyataan.

Sebelum itu pada 23 Sept Anwar mengumumkan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah tumbang kerana dia telah mendapat sokongan majoriti kukuh ahli Parlimen bagi membentuk kerajaan baru.

Susulan kenyataan Anwar, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mendakwa ada Ahli Parlimen parti mereka menyokong presiden PKR itu dan dia tidak dapat menyekat sokongan wakil rakyatnya itu.

Bagaimanapun 11 ahli Parlimen Umno yang dikaitkan dengan dakwaan menyokong Anwar telah menafikan perkara itu selain turut membuat laporan polis.

Sementara itu, seorang lagi Ahli MT Umno Mohd Puad Zarkashi turut memaklumkan yang parti itu tidak membincangkan isu berkaitan Anwar.

Katanya, dalam masa terdekat ini hanya mesyuarat biro politik Umno akan berlangsung minggu depan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS