Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKPD di 2 kawasan di Lahad Datu, PKPB di Kota Belud
Diterbitkan:  Oct 11, 2020 4:58 PM
Dikemaskini: 11:21 AM

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan dua kawasan di Lahad Datu akan diletakkan bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) bermula 13 hingga 26 Oktober.

Dua kawasan itu adalah Taman Khazanah Indah dan PPR Mutiara Kasih dan melibatkan 5,452 penduduk.

Ismail turut mengumumkan seluruh Kota Belud diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) berikutan peningkatan kes positif baru Covid-19 baru-baru ini.

Setakat 10 Oktober, terdapat 3,841 kes Covid-19 di Sabah dengan 19 kluster dan 11 kawasan dikategorikan sebagai zon merah, iaitu Kota Belud, Tuaran, Kota Kinabalu, Putatan, Penampang, Papar, Sandakan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Di Kota Belud, Ismail Berkata hanya dua orang setiap rumah yang dibenarkan keluar untuk membeli makanan dan keperlua lain. Restoran dan penjaja pula hanya dibenarkan beroperasi untuk pandu lalu dan bungkus.

Semua sekolah dan rumah ibadat diarahkan tutup.

Katanya lagi, pasar borong, pasar tani dan kedai runcit dibenarkan beroperasi.

Setakat ini, kerajaan telah menguatkuasakan PKPB di sejumlah kawasan di pantai timur Sabah. Beberapa kawasan pula dikenakan PKPD untuk ujian saringan bersasar kepada penduduk.

Semalam, Ismail berkata peraturan lebih ketat dikenakan di Sabah berbanding kawasan seperti mukim Klang, yang turut dikenakan PKPB tetapi memiliki jumlah kes positif yang lebih rendah.

Sementara itu, Ismail berkata hospital medan kendalian Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Tawau dijangka mula beroperasi minggu depan, sebagai sebahagian usaha menambah jumlah katil dan membantu hospital yang dikhususkan untuk rawatan Covid-19 dengan mengambil pesakit tidak berkaitan wabak itu.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hospital medan itu dijangka menyediakan 100 katil.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS