Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Judi mesti diharamkan, arak harus dikawal - Khairuddin
Diterbitkan:  Oct 11, 2020 4:15 PM
Dikemaskini: 9:01 AM

Menteri PAS Khairuddin Aman Razali melihat industri judi mesti diharamkan oleh kerajaan, manakala industri arak pula haruslah dikawal.

Menteri perladangan dan komoditi itu yang masih disiasat kerana melanggar perintah kuarantin pada Julai, berkata demikian dalam temu bual berkenaan agenda PAS setelah tujuh bulan menjadi kerajaan, bersama TV Pertiwi yang disiarkan di laman Facebook media berkenaan.

Dia ditanya penemu bual Firdaus Salleh Hudin, tentang noktah akhir untuk industri arak dan judi, sekiranya PAS benar-benar membawa agenda pentadbiran yang berasaskan al-Quran dan sunnah.

Kata ahli Parlimen Kuala Nerus itu, judi mesti diharamkan oleh kerajaan kerana ia diharamkan oleh semua agama dan memudaratkan manusia.

“Tidak ada manusia yang berakal, yang cintakan akhlak, dan yang cintakan kedamaian, yang suka (judi). Tak ada. Kerana judi ini diketahui menimbulkan pergaduhan, pertembungan dan sebagainya.

“Maka di akhir sekali, judi mestilah diharamkan. Itu realiti yang dunia kena terima. Dia (judi) merosakkan negara,” katanya.

Namun katanya, ini berbeza dengan pendekatan yang harus dikenakan terhadap industri arak kerana tidak seperti judi yang diharamkan oleh semua agama, arak pula, katanya, dibenarkan sesetengah agama.

“Tak ada agama yang benarkan judi, itu kena bezakan antara judi dan arak. Arak, sebahagian agama membenarkan. Kita akan berikan hak kepada mereka (penganut agama lain berkenaan).

“[...] Ini (judi) adalah satu benda penipuan atau satu manipulasi terhadap kelemahan manusia dalam menguruskan duit, yang akhirnya hilang dan sebagainya,” katanya.

Tambah Khairuddin lagi, penjualan alkohol mesti dilihat semula untuk mengelakkan arak dapat dibeli oleh orang Islam dan sehingga boleh menyebabkan peminum memandu kenderaan dalam keadaan mabuk.

Memberikan contoh republik Singapura yang katanya mengawal penjualan berleluasa alkohol, meskipun dikepalai oleh perdana menteri bukan Islam.

“Contoh kita lihat bagaimana Singapura, sebuah negara yang dipimpin oleh bukan Islam, tetapi mereka mengharamkan arak untuk dijual secara berleluasa. Kenapa? Kerana mereka melihat arak itu memudaratkan.

“Kalau arak itu memudaratkan, maka ia patut diharamkan untuk dijual di peringkat awam.

“Tetapi ada pun hak yang dimiliki oleh agama masing-masing untuk minum arak, itu hak mereka dan kita akan benarkan. Kerana itu hak yang diberikan oleh Allah kepada agama lain,” katanya.

Untuk rekod, minum arak di tempat awam adalah dibenarkan di Singapura, bagaimanapun, ia dihadkan di kawasan awam dan premis tak berlesen, dari jam 10.30 malam hingga 7 pagi ekoran rusuhan yang terjadi di Little India pada 2013.

Pada Ogos, di Dewan Rakyat, ahli Parlimen Pasir Puteh, juga dari PAS, Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata tidak ada agama membenarkan penganutnya minum arak ketika membahaskan RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020, antara lain bagi meningkatkan hukuman pemandu mabuk.

Ketika dicelah dan cuba dibetulkan ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham yang beragama Kristian, Zawawi kemudiannya mendakwa arak sebenarnya diharamkan hatta dalam agama Kristian, sebelum “kitab Injil dipesongkan atau diubah”.

Khairuddin sendiri masih belum habis berdepan kritikan isu pelanggaran perintah kuarantinnya setelah pulang dari Turki pada Julai, dan masih disiasat sehingga kini sehingga menimbulkan dakwaan berat sebelah dalam penguatkuasaan undang-undang oleh sesetengah pihak.

Khamis lalu, polis memaklumkan telah menyerahkan semula kertas siasatan membabitkan Khairuddin ke Jabatan Peguam Negara (AGC) “untuk kajian lanjut”.

Dia dikenakakan denda RM1,000 pada Ogos oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, dan meminta maaf serta turut mendermakan empat bulan gajinya atas rasa tanggungjawabnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS