mk-logo
Berita
Hospital Queen Elizabeth II masih beroperasi walau ada jururawat dikuarantin
Diterbitkan:  Oct 10, 2020 10:12 PM
Dikemaskini: 2:12 PM

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan unit rawatan rapi (ICU) Hospital Queen Elizabeth II di Kota Kinabalu, Sabah masih beroperasi seperti biasa meskipun ada jururawatnya yang terpaksa dikuarantin.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata KKM terpaksa mengurangkan jumlah pesakit yang dirawat di situ daripada lapan orang kepada enam.

"Bagi situasi di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Queen Elizabeth II , terdapat seorang jururawat yang dikesan positif Covid-19 setelah menjalani saringan bergejala pada 6 Okt 2020.

"Bagaimanapun, perkhidmatan di ICU Hospital Queen Elizabeth II masih berjalan seperti biasa, namun terpaksa mengurangkan jumlah pesakit daripada 8 kepada 6 pesakit. Kesemua pesakit di dalam ICU telah disahkan bebas Covid-19," kata Noor Hisham dalam satu kenyataan.

Malaysiakini awal hari ini melaporkan Hospital Queen Elizabeth II di Kota Kinabalu kini lumpuh selepas lebih separuh petugas barisan hadapan wad ICU itu terpaksa dikuarantin.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi Malaysiakini, seramai 40 daripada 66 jururawat yang menjaga wad ICU terbabit kini terpaksa dikuarantin setelah sekurang-kurangnya seorang kakitangan disahkan positif Covid-19.

Sumber rapat hospital terbabit juga memberitahu Malaysiakini bahawa kakitangan perubatan tersebut dijangkiti dari luar hospital sebelum mereka kembali bekerja.

Ini menyebabkan wad ICU menjadi tegang di saat pesakit Covid-19 yang kritikal mulai meningkat.

Pakai PPE bersesuaian

Mengulas lanjut perkara itu, Noor Hisham mengesahkan perkara tesebut dan berkata terdapat seorang jururawat yang dikesan positif setelah menjalani saringan bergejala.

Oleh demikian Noor Hisham berkata saringan di tempat kerja menggunakan RTK Antigen dan juga RT-PCR telah dijalankan terhadap 92 petugas perubatan pada 9 Okt.

“Hasil saringan mendapati seorang lagi jururawat yang merupakan kontak rapat kepada kes indeks adalah positif Covid-19 manakala anggota perubatan yang lain didapati negatif kedua-dua RTK Antigen dan RT-PCR.

“Pada masa ini, 40 daripada 66 jururawat sedang dikuarantin di rumah. Punca jangkitan masih dalam siasatan.

"Majoriti jangkitan dalam kalangan petugas kesihatan di Sabah setakat ini berpunca daripada komuniti dan daripada petugas kesihatan kepada petugas yang lain,” katanya.

Noor Hisham turut menasihatkan semua petugas barisan hadapan kesihatan dan perubatan untuk memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE) yang bersesuaian semasa menjalankan tugas dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sama ada di tempat kerja ataupun tidak.

"Pematuhan kepada panduan amalan klinikal dan langkah kawalan jangkitan adalah amat penting untuk pencegahan.

"Ruang kerja yang sempit dan ruang pantri di tempat kerja juga perlu dipastikan sentiasa bersih bagi mengelakkan penularan di tempat kerja.

"Peperangan dengan Covid-19 ternyata bawa bersama risiko jangkitan dan terkesan kepada petugas kesihatan sekiranya kita tidak patuh kepada amalan kawalan penyakit. Pastikan kita jaga kita," katanya.

Hospital Queen Elizabeth II bukan merupakan hospital yang khas merawat Covid-19 tetapi ditugaskan untuk membawa semua pesakit ICU yang bukan pesakit Covid-19 dari Hospital Queen Elizabeth I, yang juga terletak di Kota Kinabalu.

Ini untuk membolehkan wad ICU di Hospital Queen Elizabeth I dikhaskan untuk pesakit Covid-19.

Bagaimanapun, berikutan wad ICU Hospital Queen Elizabeth II kini telah lumpuh, ini memberi kesan kepada kemampuan Hospital Queen Elizabeth I untuk memastikan katil mencukui bagi pesakit Covid-19.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS