Kerajaan perlu mengkaji kewajaran cadangan penggabungan UEM Sunrise Bhd dengan Eco World Development Group Bhd, kata Senator Raja Kamarul Bahrin Shah.
Apatah lagi setelah peletakan jawatan CEO dan pengarah urusan UEM Sunrise Anwar Syahrin Abdul Ajib di saat penggabungan itu hangat diperkatakan, katanya lagi.
Dalam kenyataan hari ini, Raja Kamarul menekankan kedudukan UEM Sunrise sebagai sebuah entiti berkaitan kerajaan dan Eco World yang merupakan syarikat swasta.
"Banyak pihak menganggap penggabungan ini akan merugikan UEM Sunrise-Khazanah dan lebih banyak menguntungkan ECO World...Banyak pihak menyatakan penggabungan ini sebagai satu 'bail out' untuk menyelamatkan ECO World," dakwanya dalam kenyataan, hari ini.
"Maka kami mendesak kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Khazanah mengkaji kewajaran rancangan ini diteruskan," katanya yang juga pengerusi Amanah Terengganu.
UEM Sunrise adalah syarikat hartanah berkaitan kerajaan. UEM Group - sebuah syarikat milik dana pelaburan kerajaan, Khazanah Nasional Bhd - memiliki 66 peratus pegangan dalam syarikat itu.
Antara pemegang saham lain dalam EUM Sunrise adalah Tabung Haji dan Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP).
Semalam, Anwar Syahrin dilaporkan meletakkan jawatannya dalam UEM Sunrise berkuatkuasa serta-merta.
Perkara itu dimaklumkan syarikat itu kepada Bursa Malaysia semalam, menurut laporan Malay Mail.
Menurut laporan itu lagi, EcoWorld memaklumkan kepada Bursa bahawa ia telah menerima surat daripada UEM Group berkenaan cadangan penggabungan pada 5 Oktober lalu.
UEM pula mengumumkan cadangan itu pada hari sama dan berkata keputusan berkenaannya dijangka dibuat paling lewat 30 Oktober ini.
Terdahulu minggu ini, bekas CEO PNB Jalil Rasheed membangkitkan kebimbangan serupa berkenaan cadangan itu.
Jalil berkata UEM Group tidak seharusnya menyelamatkan subsidiari yang berdepan masalah kewangan dengan menggabungkannya dengan syarikat yang memiliki masalah aliran tunai.
Untung bersih Eco World dilaporkan turun 72.7 peratus kepada RM13.8 juta untuk suku ketiga berakhir 31 Julai 2020, berbanding RM50.5 juta tahun lalu.
Ia juga memaklumkan perolehan lebih rendah untuk suku ketiga, iaitu RM477.9 juta berbanding RM521.4 juta tahun lalu.
Menurut Reuters, UEM Group yang mencadangkan penggabungan itu berkata ada "keperluan mendesak" untuk langkah itu ekoran "keadaan makroekonomi yang kelam dan kesukaran dalam pasaran (market headwinds)".
Menurut laporan itu lagi, penggabungan itu - jika diteruskan - dibuat menerusi pertukaran saham dan waran kepada saham dan waran baru dalam UEM Sunrise dan Eco World akan menjadi milik penuh syarikat itu.