Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
14 Pati lari dari pusat tahanan sementara Tawau
Diterbitkan:  Oct 10, 2020 11:45 AM
Dikemaskini: 3:45 AM

Seramai 14 pendatang tanpa izin melarikan diri dari pusat tahanan sementara (PTS) Tawau semalam.

Menurut Astro Awani, dalam kejadian jam dua pagi semalam, seorang anggota Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengesan dua tahanan memanjat pagar belakang sebuah blok tempat mereka ditahan.

Operasi memburu dibuat dan berjaya menahan semula tujuh tahanan terbabit.

Tujuh lagi yang masih bebas adalah Aidal Girol, 42; Anwar Awal, 35; Basri Jumbli, 29; Mad Kadir Basir, 36; Dal Mujiral, 40; Talim Tipayan, 36; dan Jaladi Benedi, 38.

Mereka adalah warga Indonesia dan Filipina yang sedang menunggu ujian saringan Covid-19 keempat sebelum dihantar pulang.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Peter Umbuas menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung perkara itu agar terus menghubungi balai polis berdekatan, kaa laporan itu lagi.

Tawau merupakan antara kawasan penularan Covid-19 di Sabah.

Bermula di penjara, ia kemudian merebak di sejumlah kawasan di pantai timur negeri itu, mencetuskan kluster Benteng LD yang kini mencatatkan 976 kes.

Sejak 11 September, perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) dikuatkuasakan di penjara itu. Pada 28 September, perintah itu dikuatkuasakan di seluruh Tawau bagi mengekang penularan dalam komuniti.

Pada bulan lalu, seorang tahanan turut lari dari PTS tersebut seterusnya mencetuskan kluster baru, iaitu kluster Laut.

Individu itu dihantar pulang ke Zamboanga, Filipina pada 27 Ogos tetapi kembali ke Sabah pada 5 September untuk bertemu isterinya di Kunak.

Dia kemudian menjangkiti isterinya dan seterusnya mencetuskan kluster itu. Setakat ini, Kluster Laut mencatatkan 113 kes - kluster keempat terbesar dalam gelombang ketiga penularan Covid-19.

Isterinya disahkan positif pada 8 September. Bagaimanapun tidak jelas sama ada tahanan tersebut dijangkiti virus tersebut ketika lari dari PTS atau semasa berada di Filipina.

Setakat semalam, seramai 292 pesakit Covid-19 sedang menjalani rawatan di Tawau.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS