Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sekolah seluruh Sabah tutup sampai 25 Okt
Diterbitkan:  Oct 10, 2020 12:00 AM
Dikemaskini: 4:13 PM

Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan penutupan sekolah di seluruh Sabah selepas berlaku peningkatan kes Cvid-19 di negeri itu.

"Pada masa ini, semua sekolah di zon merah di negeri Sabah telah ditutup.

"Memandangkan kes-kes di negeri ini masih menunjukkan peningkatan, mesyuarat (MKN) bersetuju supaya KPM meneliti keperluan untuk menutup sekolah-sekolah di seluruh negeri Sabah.

"Sehubungan dengan itu, KPM memutuskan semua sekolah di negeri Sabah ditutup bermula 10 Oktober sehingga 25 Oktober 2020," kata kementerian pada satu kenyataan malam ini.

Walau bagaimanapun, jelas KPM murid-murid sekolah berasrama penuh yang berada di zon merah hendaklah kekal berada di asrama.

"Murid di asrama sekolah yang terletak di zon hijau tetapi rumah keluarga mereka di zon merah, juga perlu kekal tinggal di asrama.

"Pihak sekolah akan menguruskan keselamatan dan kebajikan murid-murid berkenaan di asrama," kata KPM lagi.

Dalam tempoh penutupan sekolah ini, KPM berkata pentadbir sekolah diarah memastikan guru-guru serta murid melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah.

Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM (klik pautan di sini).

Terdahulu hari ini, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memaklumkan kerajaan bersetuju supaya KPM mengambil tindakan menutup sekolah tanpa menunggu penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan sekiranya ada guru atau murid yang disahkan positif Covid-19.

Perdana menteri berkata keputusan itu dicapai pada Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan beliau secara sidang video di kediamannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS