Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gelombang ketiga Covid-19 lebih mencabar tapi terkawal
Diterbitkan:  Oct 9, 2020 10:49 PM
Dikemaskini: 2:49 PM

Gelombang ketiga penularan Covid-19 yang sedang melanda negara sejak awal Oktober, disifatkan lebih mencabar namun terkawal berbanding gelombang pertama dan kedua pandemik berkenaan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.

Beliau berkata penularan gelombang baru yang melibatkan beberapa kluster di Sabah dan Kedah itu disebabkan virus Covid-19 dengan mutasi jenis D614G, yang lebih mudah merebak kerana kadar kebolehjangkitannya yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, katanya, gelombang baru itu lebih terkawal kerana penularan hanya di dalam kawasan penjara dan terasing dari komuniti.

“Penularan lebih terkawal kerana berlaku di dalam penjara dan tindakan pantas pelaksanaan PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan) secara pentadbiran di kawasan terlibat bagi memastikan tidak merebak ke komuniti luar penjara,” katanya dalam sidang media secara maya yang disiarkan di Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Gelombang ketiga Covid-19 melanda Malaysia sejak 1 Okt yang menyaksikan jumlah kes baru melonjak kepada tiga angka untuk sembilan hari berturut-turut dengan kes tertinggi sebanyak 691 kes pada 6 Okt.

Berdasarkan pengalaman ketika berdepan gelombang Covid-19 pertama dan kedua sebelum ini, Dr Noor Hisham memberi jaminan, KKM lebih bersedia dengan kapasiti serta keupayaan 60 makmal ujian yang boleh menjalankan lebih 41,000 ujian sehari.

Beliau berkata walaupun kes meningkat, namun hanya 51 peratus daripada kapasiti maksimum makmal ujian digunakan ketika ini.

“Dari segi fasiliti kesihatan dan perubatan pula, kita telah tambah pusat kuarantin dan rawatan risiko rendah Covid-19 selain menambah katil di hospital dan ICU (unit rawatan rapi) yang lengkap dengan alat bantuan pernafasan serta bekalan alatan perubatan seperti peralatan pelindungan peribadi (PPE) yang mencukupi,” katanya.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS