Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MKN benar majlis kahwin di kawasan PKPB
Diterbitkan:  Oct 9, 2020 6:01 PM
Dikemaskini: 11:27 AM

Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan majlis perkahwinan yang telah dirancang untuk diteruskan di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob, malahan mereka yang berada di luar kawasan PKPB juga boleh menghadiri majlis perkahwinan itu.

Jelasnya, keputusan itu dibuat selepas MKN mengambil maklum pembatalan majlis kahwin yang telah dirancang di kawasan PKPB akan memakan belanja.

"Sidang (MKN) telah bersetuju membenarkan majlis perkahwinan diteruskan dengan menepati setiap SOP yang telahpun diperkenalkan dan penambahan syarat baru.

"Bagi penganjuran majlis perkahwinan di kampung atau taman perumahan ianya perlu dilakukan dengan pengawasan anggota Jabatan SukaRelawan Malaysia (Rela) dan jika diadakan di hotel ianya perlu dengan pengawasan daripada pihak pengurusan hotel.

"Bagi penganjuran majlis yang kurang daripada 100 jemputan (dua anggota Rela), 100 hingga 300 jemputan (tiga anggota Rela) 300 hingga 500 jemputan (empat anggota Rela) dan bagi yang melebihi 500 jemputan akan ditetapkan oleh Rela mengikut jumlah kehadiran dan ruang kawasan majlis.

"Bagi jemputan dari luar kawasan PKPDB mereka perlu menunjukkan kad jemputan majlis perkahwinan ketika melalui sekatan jalan raya yang diadakan," katanya pada hari ini.

Peraturan majlis perkahwinan di seluruh negara di bawah PKP pemulihan merangkumi langkah penjarakan fizikal, memakai penutup muka, merekod dan memeriksa suhu badan serta meminimumkan kontak dekat.

Peraturan tambahan merangkumi pengambilan pengendali makanan di barisan bufet, ruang meja yang berjarak dua meter dan larangan mengambil gambar beramai-ramai.

Pada masa ini, terdapat empat kawasan di bawah PKP bersyarat - Klang di Selangor dan Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang di Sabah.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS