Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Kata tiada sekatan, penduduk Kg Kuantan terkejut lihat kehadiran polis

Pagi tadi, Ketua Polis Daerah Klang Utara Nurulhuda Mohd Salleh mengumumkan sekatan jalan di kawasan Kampung Kuantan susulan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) bermula hari ini.

Ekoran itu, penduduk kawasan terbabit mula meluahkan rasa risau dan gelisah kerana tidak mendapat maklumat sebelum terjadi perkara itu.

Malaysiakini tidak dapat memasuki kawasan tersebut ekoran sekatan yang telah dilaksanakan namun sempat menghubungi beberapa penduduk yang tinggal di kawasan terkesan.

Menurut Mahani Abdul Rahman,56, dia berasa terkejut bila melihat pagi tadi terdapat sekatan perjalanan di kawasan rumahnya.

“Itu lah, mak cik pun terkejut tiba-tiba mereka tutup, takut anak dan suami tak dapat ke kerja. Tetapi polis beri masuk dan keluar macam biasa, cuma kena ada surat,” katanya.

Selain itu, Ketua Kampung, Kampung Kuantan Daud Kulop Ismail berkata, 65, sekatan tersebut telah diletakkan di kawasan itu sejak pukul 8 pagi tadi.

“Memang ada, mereka (pihak polis) pasang pukul 8 pagi tadi. Dekat kawasan sekolah agama (Kampung Kuantan) itu, nak keluar beli barang atau kerja tiada masalah. Polis bagi,” katanya.

Tambahnya, dia juga sempat memberikan sumbangan kepada beberapa keluarga yang memerlukan di kawasan tersebut.

Kemuka surat majikan

“Saya ada berikan (sumbangan) kepada tiga keluarga. Dua di kawasan Kampung Kuantan, satu di pangsapuri Bukit Kuda.

“Setakat ini masih tiada Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) atau Pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) yang telefon lagi. Mungkin masih awal,” katanya.

Berdasarkan pemerhatian Malaysiakini di kawasan sekatan, kereta masih dibenarkan lalu sekiranya mereka merupakan penduduk di situ.

Bagi yang ingin keluar untuk bekerja, penduduk perlu mengemukakan surat majikan hari ini.

Menurut pihak polis, sekatan jalan raya akan dibuat di Jalan Bukit Kuda di depan kedai Emy Cookies & Food dan di persimpangan di Lorong n Lintang Raksa 2.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Nurulhuda Mohd Salleh. 

Lorong Perak, Jalan Raksa 3 (depan kedai Jihas Bakery) dan Jalan Raksa 4 akan ditutup.

Kampung Kuantan juga menyusuli Bukit Tinggi dan Taman Sri Andalas di Klang Selatan yang dikenakan PKPB bermula jam 12.01 tengah malam tadi.

Sementara itu, pengurus kedai runcit dalam kawasan Kampung Kuantan, Muhamad Basir, 36 juga berkata sudah ramai penduduk sekitar ke kedainya untuk membeli barang selepas melihat sekatan itu.

"Ada penduduk sudah mari untuk beli barang dan ikan, tetapi barang masih ada jika mereka mahu beli. Saya tidak pasti jika lori boleh hantar bekalan makanan lagi atau tidak. Saya harap polis bagi masuk,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Jelas Muhamad (gambar, bawah) lagi, keperluan di kedai masih banyak jadi penduduk masih boleh membeli barang di kedainya.

Sementara itu, Abdul Wahab Kamarudin, 54, yang tinggal di pangsapuri di Bukit Kuda berkata, dia sudah melihat kelibat beberapa polis di kawasan sekitar rumahnya.

“Saya tengok polis sudah ada, tetapi mereka tidak naik ke blok pangsapuri, ada di depan kawasan masuk. Pintu belakang hendak masuk pangsapuri juga sudah ditutup,” katanya.

Hal ini kerana, Abdul Wahab berkata, terdapat ambulan yang sudah memasuki kawasan perkarangan pangsapurinya sejak minggu lalu.

“Ada beberapa ambulan datang, masuk kawasan ambil orang positif (Covid-19). Saya ada nampak, yang kena tu blok B tetapi pengurusan sudah sanitasi kawasan.

“Jadi faham kalau polis ada tetapi terkejut juga kerana tak sangka pasang sekatan di kawasan ini juga,” katanya yang merupakan penduduk blok A di flat tersebut.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS