Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Pejabat agama telefon, minta bersiap untuk nikah'

Nur Emira Khaleeda Abdul Rahman, 24, membayangkan hari bahagia yang dinanti-nantikannya pada Sabtu ini berjalan dengan lancar.

Di hari tersebut, dia bakal mendirikan rumah tangga dengan Ahmad Rafhan Syahmi Shafiee seperti yang dirancang sebelum ini.

Tetapi ia terpaksa dilangsungkan semalam - beberapa jam sebelum pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di mukim Klang - di saat dia masih bekerja dan keluarga pihak lelaki pula tinggal di Kedah.

“Sepatutnya saya kahwin pada 10 Oktober tetapi Pejabat Agama Islam Daerah Klang telefon dan minta saya nikah 8 Oktober, iaitu semalam.

“Bayangkan, saya tengah kerja dan dapat panggilan untuk balik siapkan diri sebab kena nikah.

"Ramai pula tu (pengantin) di pejabat agama. Semua geng kahwin last minute,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Menurut Nur Emira, dia dua diberi pilihan pejabat agama iaitu sama ada bernikah lebih awal atau membuat permohonan baru di Shah Alam nanti.

"Tetapi proses itu lagi merumitkan sebab kena buat permohonan pernikahan di luar daerah pula," katanya yang merupakan seorang kerani akaun.

Susulan perubahan itu, Nur Emira berkata keadaan menjadi agak "kelam-kabut" dengan beberapa perkara yang sudah dirancang tidak dapat dilaksanakan.

“Kelam-kabut sebab keluarga mentua saya tak sampai Selangor lagi. Mereka dari Kedah tapi jangan risau, bukan kawasan zon merah. Bayangkan keluarga saya kena datang untuk pernikahan mendadak seperti ini.

“Suami saya pula ke pasar raya untuk beli kasut sebelum akad nikah," katanya sambil ketawa.

Majlis persandingan - yang juga dijadual berlangsung pada Sabtu malam - pula terpaksa ditangguhkan.

"Saya tak dapat nak buat persandingan. Nasib baik perancang perkahwinan, jurumekap dan orang lukis inai faham dan mereka beri kami tukar tarikh,” katanya lagi.

Meskipun dengan pelbagai perkara di luar jangka itu, Nur Emira tetap menyuarakan rasa syukur kerana pernikahannya tetap dapat dilangsungkan.

“Alhamdullilah semuanya berjalan lancar dan kami kini bergelar suami isteri," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS