Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Majlis Aids kecewa MB Kedah kaitkan HIV dengan dosa
Diterbitkan:  Oct 9, 2020 1:46 PM
Dikemaskini: 5:46 AM

Majlis Aids Malaysia (MAC) kecewa dengan kenyataan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Mohd Nor yang mengaitkan HIV dengan dosa dan amalan akiviti tidak bermaruah.

Menurut MAC, kenyataan seumpama itu memburukkan lagi stigma bagi mereka yang sudah dijangkiti, atau terdedah dengan jangkitan HIV, dan bahkan menawarkan hati mereka untuk mendapatkan rawatan.

"Stigma dan diskriminasi terhadap HIV dan penyakit berjangkit lain termasuk Covid-19, adalah tidak produktif dan boleh menawarkan hati mereka yang berisiko untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

"Kami bimbang bahawa kenyataan itu juga akan mendorong pesakit HIV yang mungkin terdedah kepada Covid-19 daripada mendedahkan status kesihatan mereka kepada penyedia perkhidmatan kesihatan.

"Covid-19 sangat berbahaya bagi individu yang mempunyai sistem imun yang lemah," kata MAC dalam satu kenyataan hari ini.

Sanusi pada Rabu lalu, berkata, bahawa tidak seperti pesakit Covid-19 yang tidak melakukan sebarang dosa seperti pesakit HIV.

“Pada pandangan saya orang positif Covid-19 ini bukan dia buat dosa. Pandangan awam sekarang seolah-olah orang yang positif Covid-19 buat dosa dan patut dikecam, termasuk menteri agama pun orang kecam... bukan dosa apa, dia terkena.

“Siapa pun yang minta kena Covid-19? Tuan-tuan pun tak minta. Kalau di kalangan tuan-tuan ni ada yang kena Covid, bukan kehendak kita.

“Kita buat kerja, tiba-tiba terkena kepada pandemik. Ini bukan Aids atau HIV (yang mana) antara penularan HIV ni (dari) seks songsang. Ini haram, tak boleh, dosa.

“Ini bukan Aids. Kalau kita pasti Aids atau HIV, antara penularan HIV ini seks songsang, ini haram, tak boleh, dosa. Keduanya cucuk jarum dadah, ini satu kesalahan, dari segi undang-undang pun salah kesihatan pun tindakan tak wajar.

“Lama-kelamaan HIV / Aids pun ada persatuan bela mereka, buat reben macam-macam terima pesakit Aids di kalangan kita seolah-olah tak ada apa depa ini.

“Tapi Covid-19 yang tidak terjangkit kerana aktiviti dosa itu diberi persepsi macam buat dosa besar yang tidak boleh diampuni lagi maka dikecam secara jemaah dalam Facebook dan media sosial. Saya rasa ini patut dihentikan. Kita tak minta sakit itu,” katanya.

HIV / Aids tersebar melalui hubungan seks tanpa perlindungan dengan seseorang yang dijangkiti (tanpa mengira orientasi seksual atau jantina), berkongsi peralatan perubatan seperti jarum hipodermik dengan orang yang dijangkiti dan dari ibu ke anak semasa kehamilan, kelahiran atau menyusui.

Menurut MAC, mereka mempunyai hubungan kerja jangka panjang dengan kerajaan negeri Kedah, dan mahu memperkukuhkannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS