Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS ajak semua parti dalam kerajaan Sabah 'teroka jalan damai'
Diterbitkan:  Oct 9, 2020 9:42 AM
Dikemaskini: 5:55 AM

PAS berkata semua pihak perlu "meneroka" langkah mendamaikan pelbagai kumpulan yang tidak sependapat dalam Gabungan Rakyat Sabah (GBS) ketika ini.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata ia merupakan tugas sebuah "kerajaan yang bertanggungjawab".

"PAS percaya sebagai anggota kerajaan yang bertanggungjawab dan komited kepada pembinaan negara yang harmoni, maju dan bersatu padu, semua pihak perlu meneroka jalan damai dan saling menerima serta hormat menghormati di antara semua pihak yang tergolong dari pelbagai kaum, etnik, agama, budaya dan adat resam di Sabah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ia dibuat sebagai mengulas rasa kurang senang ditunjukkan parti komponen GBS terhadap pelantikan seorang pemimpin PAS ke dalam DUN Sabah yang diumum kerajaan negeri semalam.

Sebelum itu Parti Bersatu Sabah (PBS) yang menyertai GBS untuk mengalahkan Warisan dalam pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini menyuarakan bantahan mereka terhadap langkah berkenaan.

Pada 2 Okt misalnya Presiden PBS, Maximus Johnity Ongkili, berkata tiada asas untuk GBS mempertimbangkan pelantikan wakil PAS untuk menganggotai kabinet atau DUN negeri itu.

Katanya PAS bukan saja tidak memenangi sebarang kerusi malah parti itu tidak bertanding pun dalam PRN 26 Sept lalu. 

Parti Solidariti Tanah Airku (Star) pula menyifatkan penyertaan PAS dalam DUN sebagai sesuatu yang "malang" namun menyifatkan pemimpin terbabit, Aliakbar Gulasan, memahami realiti Sabah.

Anak jati Sabah, berpengalaman

Presiden Star Jeffrey Kitingan berkata parti itu tegas dalam prinsipnya bahawa mana-mana pihak yang tidak membawa cita-citanya yang sesuai dengan nilai dan sensitiviti rakyat Sabah harus ditolak.

"Pemimpin PAS berkali-kali mengeluarkan kenyataan yang menyinggung perasaan dan sentimen rakyat Sabah yang berbilang budaya dan pelbagai agama.

"Rakyat Sabah tidak memerlukan parti politik untuk mengajar mereka mengenai perpaduan antara agama.

Sabah adalah contoh yang baik dalam perpaduan rakyat pelbagai agama, sama seperti jiran kita, Sarawak," katanya. 

Untuk rekod perlembagaan Sabah membenarkan parti kerajaan melantik enam individu sebagai Adun tanpa melalui pilihan raya.

Takiyuddin berkata PAS berbesar hati dengan sikap terbuka PBS dan Star kerana bersedia memberi peluang kepada Aliakbar untuk berkhidmat kepada rakyat Sabah.

Katanya setiausaha PAS Sabah itu merupakan anak jati negeri berkenaan yang mempunyai kelulusan tinggi serta berpengalaman luas sebagai pensyarah kanan di Universiti Malaysia Sabah.

Justeru kata Takiyuddin Aliakbar mampu menyumbang tenaga dan buah fikirannya mewakili Perikatan Nasional dalam GRS.

"PAS berpandangan bahawa tugas utama kerajaan GRS sekarang ialah mengembalikan keyakinan rakyat kepada usaha memulihkan keadaan termasuk menguruskan penularan semula pandemik Covid-19 serta memulihkan ekonomi dan sosial," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS