Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KP Kesihatan jangka akan ada pertambahan kes di Sabah

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham menjangka lebih banyak kes Covid-19 akan dikesan di Sabah pada minggu ini susulan gelombang ketiga wabak berkenaan yang melanda negara.

Menurut Dr Noor Hisham, kementerian kesihatan dengan kerjasama pelbagai agensi sedang berusaha untuk mengekang penularan wabak itu di Sabah.

"Kita harap dapat landaikan lengkok kes di Sabah dan jangka dalam seminggu ni akan ada pertambahan kes. Kalau lihat dalam tiga hari, (jumlahnya) berkurangan.

"Tapi masih jalankan pengesanan dan harap dapat kesan semua kes positif dengan kerjasama erat semua agensi," katanya.

Noor Hisham yang kini menjalani kuarantin kendiri di rumah selepas mempunyai kontak dengan seorang menteri kabinet yang dikesan positif Covid-19, mengadakan sidang media secara maya dari kediamannya.

Katanya, KKM telah menggerakkan bantuan tambahan dari Semenanjung termasuk pakaian pelindung diri (PPE) tambahan dan alat ujian swab untuk aktiviti pengesanan kes.

"Sekarang gelombang ketiga. Saya sekali lagi ingin ingatkan rakyat supaya kita patuh SOP dan bantu KKM untuk duduk di rumah," tegasnya.

Menjawab soalan dari media mengenai dakwaan yang tersebar di internet bahawa pelancong dari Sabah cuba mengelakkan diri daripaa menjalani pemeriksaan Covid-19 dengan terbang ke Sarawak sebelum ke negeri lain, Noor Hisham menafikannya.

Katanya, pihak berkuasa di Sarawak juga melakukan ujian pengesanan terhadap pelancong yang mempunyai sejarah perjalanan ke kawasan berisiko tinggi di Sabah, seperti yang dilakukan di lokasi masuk lain di negara ini.

"Kalau lihat kawalan sempadan di Sarawak dan Labuan juga telah laksana pada 27 Sept sama seperti kemasukan ke PMA (pintu masuk antarabangsa) dan PMD (PIntu Masuk Domestik) di Semenanjung

"Kalau lihat ada kes-kes positif dikesan di Sarawak dan Labuan kerana telah kuatkuasakan dan memang jalankan ujian semua kemasukan dari Sabah," katanya.

'Rekod pendaftaran wajib sangat membantu'

Sementara itu, Noor Hisham berkata syarat daftar masuk wajib yang dikenakan di semua premis perniagaan sangat membantu KKM.

Katanya, rekod berkenaan terutama di aplikasi MySejahtera digunakan oleh pejabat kesihatan daerah untuk melakukan pengesanan kontak, terutama ketika terdapat kes dikesan di sesuatu premis.

"Pasukan MySejahtera dengan pejabat kesihatan daerah akan mengesan siapa pengguna yang mendaftar masuk dalam tempoh tersebut dan mengenal pasti mereka untuk penilaian risiko lebih lanjut. 

"Oleh itu, kami menggunakan maklumat itu pada dasarnya untuk mengesan kontak.

"Sekiranya ada keperluan, kita akan menggunakan maklumat tersebut, untuk memberi tahu pemilik premis mengenai individu yang di bawah siasatan semasa mendaftar masuk. Ini akan membantu pemilik untuk menghentikan PUI (kes yang disyaki) memasuki premis mereka," katanya.

Ditanya sama ada KKM akan membekukan cuti kakitangan kesihatan sebagai persediaan sekiranya keadaan bertambah buruk, Noor Hisham berkata langkah tersebut tidak diperlukan buat masa ini.

"Buat masa ini, cuti untuk petugas kesihatan tidak dibekukan. Walau bagaimanapun, ini akan dikaji dari semasa ke semasa," katanya.

Kementerian itu bagaimanapun telah mengeluarkan surat untuk menangguhkan semua aktiviti yang boleh dilakukan pada waktu lain dan meminta kakitangannya mengadakan mesyuarat, seminar dan latihan secara dalam talian.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS