Tindakan seorang individu menerima tetamu ketika menjalani kuarantin setelah pulang dari Sabah menimbulkan persoalan apakah perkara itu dibolehkan selepas saudara-mara yang berkunjung ke rumahnya dijangkiti Covid-19.
Berdasarkan dokumen Pengawasan dan Pemantauan di Rumah yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan kepada individu yang pulang dari Sabah seperti yang diperoleh Malaysiakini, perkara itu tidak dilarang.
Di bawah lampiran 1 Annex 10a, Kementerian Kesihatan menasihati mereka yang memakai gelang berwarna merah jambu di rumah untuk "hadkan pelawat atau tetamu ke rumah anda".
Mereka juga diminta menyenaraikan semua individu yang menziarahi mereka.
KKM juga menasihati mereka memakai pelitup muka ketika keluar dari bilik dan elak bergaul dengan dengan orang lain.
Dari 27 Sept hingga 10 Okt, semua individu yang pulang dari Sabah diwajibkan menjalani ujian Covid-19 dan kuarantin wajib di rumah sehingga keputusan ujian dikeluarkan.
Mereka yang diuji negatif disaran menyelesaikan tempoh kuarantin selama 14 hari, tetapi perkara itu tidak diwajibkan.
Semalam, Kementerian Kesihatan memaklumkan kluster baru Bah Puchong di daerah Petaling, Selangor dan daerah Kinta dan Larut, Matang, Selama di Perak.
Terdapat 5 kes positif daripada kluster berkenaan setakat ini.
Exco Selangor, Ng Sze Han berkata, kes itu tersebar di Puchong setelah saudara-mara dari Perak melawat salah seorang pesakit indeks.
Sehingga tengah hari semalam, 39 orang telah diuji daripada kluster berkenaan membabitkan 12 individu di Selangor dan 27 di Perak.
Selain daripada lima kes berkenaan yang diuji positif, keputusan ujian ke atas individu lain masih belum dikeluarkan.