Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KP Jakim meninggal dunia
Diterbitkan:  Oct 8, 2020 2:21 PM
Dikemaskini: 6:21 AM

Ketua Pengarah Jakim, Paimuzi Yahya kembali ke rahmatullah hari ini.

Allahyarham dilaporkan meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh pada jam 1 petang tadi.

Jenazah Allahyarham akan dibawa ke rumah arwah di Kuang, Gombak untuk majlis pengkebumian.

Semalam, Ketua Unit Komunikasi Korporat Jakim memaklumkan Paimuzi telah menjalani pemeriksaan saringan Covid-19 pada Selasa 6 Oktober 2020 di Hospital Sungai Buloh dan keputusan didapati negatif.

Bagaimanapun beliau ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) bagi mendapatkan rawatan susulan kerana faktor sejarah kesihatan beliau yang kurang memuaskan.

Pada 13 Januari, Paimuzi dilantik sebagai Ketua Pengarah Jakim yang baru.

Dalam satu kenyataan, Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, pelantikan dengan Gred Utama A itu bagi mengisi jawatan yang dikosongkan Mohamad Nordin Ibrahim yang bersara wajib pada 27 Disember 2019.

Paimuzi, 59, pegawai paling kanan di Jakim itu pernah menggalas tugas sebagai timbalan ketua pengarah (Operasi) agensi itu.

“Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda pada 1985 dan Ijazah Sarjana (1995) dalam bidang Syariah dari Universiti Malaya.

“Beliau mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran hal ehwal Islam apabila mula menyertai perkhidmatan awam pada 1986 dalam Skim Pegawai Hal Ehwal Islam di Jabatan Perdana Menteri,” kata kenyataan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS