Pihak timbalan pendakwa raya pada dasarnya telah bersetuju untuk membuat pertuduhan terhadap beberapa pihak yang terlibat dalam skandal pembelian hartanah membabitkan Mara Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc), kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata, buat masa ini, SPRM sedang mengatur masa yang sesuai untuk pertuduhan dilakukan selain memberi jaminan tidak ada perlindungan akan diberikan terhadap pihak-pihak yang terlibat.
“Timbalan pendakwa raya, pada dasarnya, telah bersetuju untuk menuduh beberapa pihak, cuma sekarang ini kami tengah atur masa untuk tuduh sahaja.
“Ada (pihak terlibat) yang salah seorangnya, mungkin duduk di Sabah, mungkin terlibat dalam kuarantin, dan kita kena aturkan masa.
“Kes ini tidak ada sebarang perlindungan diberikan kepada mana-mana pihak. Kami memang tegas dalam menjalankan kes ini, cuma tunggu masa sajalah. Itu yang boleh saya katakan setakat ini,” katanya.
Dia berkata demikian dalam temu bual siaran langsung di radio MACC.fm hari ini.
Pada 5 Ogos lalu, portal The Sydney Morning Herald melaporkan seorang individu didakwa atas tuduhan merasuah seorang pegawai warga asing (iaitu merujuk pegawai Malaysia) dan empat lagi tuduhan akaun palsu berkaitan penjualan blok penginapan pelajar Dudley House di Melbourne kepada Mara Inc.
Boon Lye Teen, atau dikenali sebagai Dennis Teen, 68 - dipercayai warga Malaysia yang bermastautin di Australia - dituduh melakukan kesalahan itu pada 8 Mac 2013 di Vermont South, Melbourne.
Berdasarkan butiran mahkamah, harga hartanah dipersetujui untuk dijual pada harga AU$17.85 juta (RM 53.55 juta), namun kemudian dijual pada harga lebih tingg i- AU$22.6 juta (RM 67.8 juta) - dengan AS$4.75 juta (RM14.25 juta) digunakan untuk membayar pegawai awam di Malaysia.
Susulan itu, Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok menggesa SPRM menyiasat kes itu, termasuk dua “orang tengah” dikenali sebagai Zach Zainal dan Erwan Azizi yang didakwa menerima sogokan berjumlah RM14.25 juta untuk mempengaruhi pegawai awam Malaysia dalam urus niaga itu.
Mara pula tidak lama kemudian, menggesa semua pihak memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk meneruskan siasatan terhadap skandal penjualan hartanah yang berlaku pada 2013 itu.
Kes Asri Janggut di peringkat akhir
Dalam perkembangan lain, menjawab soalan seorang pengguna Facebook berhubung kes Abang Burger atau Asri Janggut, Azam berkata siasatan sudah sampai ke “peringkat hujung”, dan meminta orang ramai bersabar menunggu perkembangan kes itu.
Dia memberi jaminan tindakan punitif akan diambil dan tiada sebarang perlindungan akan diberikan terhadap mereka yang terlibat.
“Kita telah menjalankan siasatan dan ramai pihak telah ditangkap, dan siasatan ini dah di peringkat penghujungnya untuk kita selesaikan.
“Saya rasa, tunggu masa sikit, kita akan bawa ke timbalan pendakwa raya (DPP), DPP akan meneliti kes ini untuk sesuatu keputusan, mungkin ada yang dituduh atau tidak dan sebagainya.
“[...] Jadi minta sabar sikit, saya beri jaminan (siasatan diteruskan). Jangan kata senyap (tiada perkembangan), takkanlah kami tiap-tiap hari nak sebut tentang kes ini pergi ke mana, tapi tidak ada sebarang cover up (perlindungan). Itu saya bagi jaminan,” katanya.
Bagi Azam, apa yang penting, SPRM telah bertindak cepat bagi menghentikan isu yang timbul berhubung kes itu, lebih-lebih lagi apabila masyrakat masih mempunyai persepsi negatif terhadap tindakan penguatkuasaan di negara ini.
Asri atau nama sebenarnya Mohd Asri Hamid, mendapat perhatian pada Ogos apabila memuat naik video di Facebook mendedahkan wujudnya kegiatan perjudian dan penjualan rokok seludup yang aktif di sekitar Sungai Buloh tanpa sebarang tindakan oleh pihak berwajib.
Tindakannya itu menggemparkan banyak pihak termasuk membawa kepada penahanan beberapa kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) oleh SPRM tidak lama kemudian.