Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Kes lombong emas: Rayuan Malaysiakini ditangguhkan ke 1 Dis
Diterbitkan:  Oct 8, 2020 12:50 PM
Dikemaskini: 4:50 AM

Mahkamah Persekutuan menangguhkan prosiding rayuan Malaysiakini hari ini untuk membatalkan keputusan mahkamah lebih rendah bahawa laporan portal berita dalam talian mengenai syarikat Raub Australian Gold Mining (RAGM) adalah fitnah kepada 1 Disember.

Panel lima hakim yang dipengerusikan oleh hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong Lam Kiat menangguhkan perbicaraan semasa prosiding mahkamah terbuka pagi ini.

Hakim lain yang bersidang bersama adalah hakim Mahkamah Persekutuan Abdul Rahman Sebli, Zaleha Yusof, Hasnah Mohammed Hashim dan Rhodzariah Bujang.

Hari ini pada asalnya dijadualkan untuk mahkamah tertinggi negara itu mendengar rayuan Malaysiakini terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang pada Januari 2018 memerintahkan portal berita itu membayar RM350,000 - RM200,000 sebagai ganti rugi dan RM150,000 lagi sebagai kos guaman - kepada RAGM untuk fitnah.

Mahkamah Rayuan ketika itu membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak dakwaan RAGM dan memutuskan Malaysiakini tidak bersalah.

Mahkamah Persekutuan sepatutnya mendengar rayuan Malaysiakini hari ini bersama dengan rayuan saman fitnah lain oleh peguam Manjeet Singh Dhillon ke atas akhbar Utusan Malaysia.

Mahkamah kemudian menangguhkan rayuan Malaysiakini setelah diberitahu oleh peguam Utusan, Wong Rhen Yen bahawa syarikat itu dan Manjeet sedang meneliti kemungkinan menyelesaikan masalah mereka.

Wong berkata, mereka meminta penangguhan kerana mahu memohon pendapat liquidator mengenai kemungkinan Utusan menyelesaikan rayuan itu.

"Ada kemungkinan untuk menyelesaikan masalah ini, justeru, kami memohon penangguhan," kata Wong.

Peguam itu kemudian mengemukakan permohonan agar rayuan Utusan dipisahkan daripada rayuan Malaysiakini kerana kemungkinan ada penyelesaiannya.

Peguam Manjeet, Americk Sidhu kemudian memberitahu hakim bahawa dia tidak keberatan dengan penangguhan itu.

Peguam Malaysiakini Cyrus Das dan peguam RAGM Cecil Abraham kemudian memberitahu mahkamah bahawa mereka berdua telah bersedia untuk meneruskan perbicaraan rayuan portal berita dalam talian itu hari ini.

Bagaimanapun, Ong menangguhkan kedua-dua rayuan kepada 1 Disember kerana arahan awal dari Mahkamah Persekutuan adalah untuk kedua-dua perkara itu dibicarakan bersama.

Hakim, bagaimanapun, menyatakan bahawa tanpa mengira sama ada rayuan Utusan diteruskan atau tidak, prosiding rayuan Malaysiakini akan bermula pada 1 Disember.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS