Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mada gesa pengeluar padi pastikan petani dapat benih ikut harga sah
Diterbitkan:  Oct 8, 2020 12:21 PM
Dikemaskini: 4:21 AM

Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) menggesa pengeluar padi memastikan petani mendapatkan bekalan benih padi yang sah pada harga munasabah dalam tempoh waktu yang sepatutnya.

Pengerusinya Ahmad Tarmizi Sulaiman turut menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) bertindak bagi membela nasib petani yang terjejas.

"Mada juga menggesa agar pengeluar memberi keutamaan kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Mada sebagai pengedar kepada pesawah.

"Pihak Mada juga menggesa Mafi mengambil tindakan keras kepada pengeluar benih padi sah yang gagal memnuhi kontrak mereka serta ejen-ejen benih padi yang memanipulasikan harga," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Sebelum ini timbul isu kelewatan dan kenaikan harga benih padi yang dihadapi oleh pesawah di Kedah dan Perlis.

Hal itu dikatakan berpunca daripada jadual pengairan yang dikeluarkan tanpa mengira kapasiti pengeluaran benih oleh syarikat yang dilantik.

Selain itu, terdapat juga dakwaan berlaku salah guna kuasa oleh pihak tertentu yang mahu mengaut keuntungan daripada benih yang diluluskan.

Semalam, bekas menteri pertanian Salahuddin Ayub berkata nahawa pesawah harus diberi hak membeli biji benih dan baja pilihan mereka untuk mengelakkan kekurangan benih padi dan eksploitasi harga.

Mengakui bahawa isu tersebut telah berlanjutan sejak beberapa musim, Salahuddin berpendapat bahawa isu tersebut perlu dilihat secara holistik.

Ahmad Tarmizi berkata Mada mengambil beberapa langkah dan tindakan awal bagi memastikan aktiviti penanaman pesawah tidak tergendala.

"Mada juga telah mengarahkan semua PPK Mada membuat pesanan awal stok benih padi sah daripada pengeluar, serta kempen pengembangan penggunaan benih sah.

"Pegawai-pegawai Mada di lapangan turut mengadakan aktiviti pengembangan seperti kempen yang berterusan mengenai penggunaan benih padi sah serta pengesyoran penggunaan varieti tempatan," katanya. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS