PAS akhirnya mempunyai wakil Dewan Perundangan Negeri Sabah, setelah setiausaha negeri Aliakbar Gulasan dilantik mengisi jawatan Adun lantikan di negeri itu.
Aliakbar dilantik hari ini bersama 5 yang lain, iaitu bekas ketua menteri Yong Teck Lee, Suhaimi Nasir dan Raimie Unggi dari Umno, serta Jaffari Walliam dan Amisah Yassin dari Bersatu.
DUN Sabah mempunyai 73 Adun yang dipilih.
Bagaimanapun, perlembagaan negara membenarkan ketua menteri melantik enam lagi Adun - yang mempunyai kuasa mengundi di dewan undangan negeri.
Melalui ciapan di Twitter, Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kerana melantik Aliakbar.
"PAS menyifatkan pelantikan julung kali ini akan membuka lembaran baharu kepada PAS Sabah bagi menjalin hubungan yang lebih erat dengan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik di Sabah," katanya.
Sebelum ini, pada Muktamar PAS bulan lalu, Aliakbar meminta para pemimpin parti pusatnya untuk berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan agar tidak menyinggung perasaan rakyat di Sabah dan Sarawak.
Katanya, walaupun kenyataan tertentu boleh diterima di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia, ia tidak semestinya diterima di Sabah dan Sarawak.
"Berhati-hatilah ketika mengeluarkan sebarang kenyataan, sebab sebarang keadaan yang boleh menimbulkan masalah.
"Kami berada di Sabah dan Sarawak berhadapan dengan masyarakat pelbagai kaum yang mungkin bahasa-bahasa tersebut sesuai dengan di Terengganu, Kelantan dan Kedah tetapi sangat tidak sesuai dengan Sabah dan Sarawak.
"Yang boleh menimbulkan sentimen, menimbulkan konflik, yang berhadapan dengan masyarakat adalah kami. Saya ingin menekankan keadaan ini sungguh-sungguh, maaf seribu kali maaf," katanya ketika itu.
Aliakbar dalam kenyataannya itu tidak menjelaskan bagaimana pemimpin pusat PAS menimbulkan kekacauan kepada rakyat Malaysia Timur.
Bagaimanapun, ia dipercayai mempunyai kaitand engan kenyataan Ketua Dewan Ulama PAS, Nik Muhammad Zawawi Salleh pada 26 Ogos mendakwa bahawa kitab Bible "dipesong", yang telah menimbulkan kemarahan orang Kristian.
Awal minggu ini, Majlis Gereja Sabah telah memetik kenyataan Zawawi dalam surat yang mereka tulis kepada timbalan ketua menteri Sabah Jeffrey Kitingan, dengan mendesaknya untuk membantah pelantikan PAS ke dalam dewan undangan negeri.
PBS - yang merupakan sekutu dalam pemerintahan Gabungan Rakyat Sabah - juga keberatan untuk melantik PAS ke badan perundangan negeri, dengan menyifatkan bahawa parti itu tidak layak dipertimbangkan kerana mereka tidak bertanding dalam pilihan raya Sabah.
Sementara itu, perwakilan lain yang dilantik, Suhaimi dari Umno kehilangan kerusi Gum-Gum dengan 296 undi, sementara Raimie menduduki tempat ketiga dalam saingan untuk Kemabong.
Jaffari dari Bersatu sebelum ini adalah wakil rakyat dari PKR yang kemudian menyokong usaha menggulingkan kerajaan yang diterajui Musa Aman - yang menyebabkan PRN diadakan.
Sementara itu, Amisah adalah timbalan ketua wanita Bersatu Sabah.
Amisah adalah satu-satunya wanita yang akan dilantik meskipun terdapat gesaan untuk jumlah perwakilan wanita yang lebih besar di DUN.
Amisah memberitahu Malaysiakini bahawa dia tidak dapat menghadiri upacara mengangkat sumpah hari ini kerana dia kini sedang menjalani kuaranti.
Dia akan mengangkat sumpah pada hari lain.
Dalam satu kenyataan berasingan, Adun Kapayan DAP, Jannie Lasimbang mengatakan bahawa PBS dan Star harus meninggalkan Gabungan Rakyat Sabah susulan pelantikan wakil PAS itu.
"PBS dan Star harus melakukan perkara yang betul dan menyatakan bahawa mereka akan menarik diri dari kerajaan GRS setelah gagal menghentikan kemasukan PAS dalam pemerintahan GRS.
"Penyokong Star dan PBS tidak akan bersetuju untuk membenarkan PAS, sebuah parti Islam, menjadi anggota DUN seperti yang telah dinyatakan oleh banyak orang awam, institusi, NGO dan pemimpin politik dalam beberapa hari kebelakangan ini," katanya.