Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MKN Selangor bincang perincian PKPB Klang esok
Diterbitkan:  Oct 7, 2020 8:58 PM
Dikemaskini: 12:58 PM

Majlis Keselamatan Negeri Selangor akan bermesyuarat esok pagi untuk membincangkan perincian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk daerah Klang.

Ini termasuk perbincangan mengenai sempadan kawasan yang terjejas dan sekatan yang dikenakan.

"Tatacara piawai operasi (SOP) untuk Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang terpakai dahulu akan diperhalusi dan dilengkapkan selesai mesyuarat bersama semua agensi, jabatan, dan badan berkaitan.

"Perkara-perkara berbangkit yang lain akan turut dimuktamadkan.

"Sebarang sebaran berkenaan SOP Daerah Klang saat ini adalah tidak muktamad sehingga diputuskan dalam mesyuarat pelarasan MKN kelak," kata kenyataan Pejabat Menteri Besar Selangor hari ini.

Awal hari ini, Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa Klang di Selangor, dan Sandakan, Papar dan Tuaran di Sabah, akan ditempatkan di bawah PKPB untuk mengekang penularan Covid-19.

Perintah itu bermula pada Jumaat (9 Okt).

Berdasarkan perintah itu, hanya perkhidmatan penting dan industri yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang akan dibenarkan beroperasi di empat daerah ini, dan perjalanan masuk dan keluar dari kawasan ini akan diterhadkan.

DI bawah PKPBm semua restoran, kedai makan, kedai runcit dan kedai serbaneka hanya dibenarkan beroperasi antara 6.00 pagi hingga 6.00 petang.

Bagi pembelian makanan, hanya kaedah pandu lalu, penghantaran dan take-away sahaja dibenarkan.

Waktu operasi stesen minyak antara 6.00 pagi hingga 6.00 petang sahaja. Begitu juga farmasi dan kedai menjual ubat-ubatan.

Operasi pasar harian pula adalah antara hingga 6.00 pagi hingga 2.00 petang sahaja. Pasar malam, tamu, pasar borong, dan pasar tani tidak dibenarkan beroperasi.

Bagaimanapun, klinik dan hospital kerajaan dan swasta dibenarkan beroperasi secara 24 jam.

Kenderaan yang membawa barangan keperluan dibenarkan keluar masuk dengan mendapatkan kebenaran polis terlebih dahulu.

Perkhidmatan teksi/e-hailing (maksimum 2 penumpang) dan penghantaran makanan dibenarkan beroperasi dari jam 6.00 pagi hingga 8.00 malam sahaja. Perkhidmatan bas ekspres dan bas henti-henti tidak dibenarkan beroperasi.

Penduduk yang bekerja tidak dibenarkan keluar dari kawasan dan tidak boleh bekerja sepanjang tempoh PKPB. Majikan pula hendaklah mematuhi perintah ini dan membenarkan pekerja bercuti atau bekerja dari rumah.

Kebenaran untuk bekerja hanya bagi Perkhidmatan Perlu (essential service) dengan kelulusan PDRM.

Di bawah PKPB juga, semua masjid, surau, rumah ibadat bukan Islam, institut pengajian tinggi awam dan swasta, institut latihan kemahiran, sekolah, tadika, taska, pusat tahfiz, dan pusat jagaan kanak-kanak adalah ditutup.

Begitu juga semua aktiviti sukan, rekreasi, sosial, dan budaya adalah tidak dibenarkan.

Ismail bagaimanapun tidak mengumumkan tempoh PKPB itu akan berkuat kuasa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS