Bermula hari ini polis berpangkat Inspektor dan ke atas boleh mengeluarkan kompaun terhadap individu yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) serta-merta, tanpa perlu membawa mereka ke balai polis.
Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob mengumumkan demikian pada sidang media secara maya di kediamannya menerusi Facebook rasmi Kementerian Pertahanan hari ini.
"Untuk meringankan beban kerja peasukan polis, Jabatan Peguam Negara telah mengizinkan pihak polis untuk mengeluarkan kompaun di tempat kejadian kepada mana-mana individu yang didapati melanggar prosedur operasi standard.
"Mana-mana pegawai polis berpangkat Inspektor dan ke atas boleh mengeluarkan kompaun serta-merta di tempat kejadian," katanya.
Sebelum ini, polis harus membawa individu yang melanggar prosedur di bawah PKPP ke balai polis sebelum notis kompaun dapat dikeluarkan terhadap mereka.
Baru-baru ini, beberapa individu yang ditangkap kerana didakwa melanggar SOP telah mengemukakan aduan di media sosial mengenai cara polis menangani kes mereka.
Mereka mendakwa pihak berkuasa mendedahkan para suspek kepada risiko jangkitan Covid-19 kerana dibawa menggunakan kenderaan polis dalam kumpulan besar serta terpaksa menunggu di balai polis tanpa penjarakan fizikal.
Mengenai kurantin wajib, Ismail Sabri berkata dari 24 Julai sehingga semalam, seramai 42,526 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.
“Daripada jumlah itu, seramai 9,522 individu sedang menjalani kuarantin wajib di 66 Hotel dan 13 premis lain, termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Swasta.
"Seramai 106 individu dibawa ke hospital untuk rawatan, manakala 32,898 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang ke rumah,” katanya.