Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Sekarang ramai rakyat yang sedang marah dengan orang politik, tak kisahlah dari pembangkang ataupun kerajaan. Membuak-buak benar marah mereka. Bagi rakyat, orang politik ini terlalu ghairah berpolitik sehingga membahayakan nyawa rakyat.

Kalau kita terlampau ghairah dalam sesuatu, ia mungkin boleh menjadi pemangkin untuk kita berjaya tetapi boleh juga menjadi penyebab kita kecundang. Keghairahan terlampau boleh membuatkan kita hilang fokus dan hilang abiliti untuk membuat satu keputusan yang betul dan waras.

Sebab itu lah kebanyakan kapten-kapten syarikat konglomerat di negara barat menjadikan meditasi diri satu amalan harian - untuk ambil satu langkah ke belakang dan bertenang sebelum melakukan sesuatu. Mereka tidak mahu terlalu ghairah dengan perancangan ataupun keadaan, kerana mereka sedar keghairahan melampau boleh mengaburi keputusan yang akan dibuat.

Di Malaysia, kita tidak begitu memerhati perihal tokoh korporat tetapi lebih suka melihat kepada ahli politik. Sekarang trend orang politik menggunakan hashtag #kekaltenang. Menunjukkan betapa pentingnya ketenangan itu dalam politik. Tidak terlalu ghairah dan taksub mengenai sesuatu perkara, tidak pula terlalu sibuk berlawan dengan musuh yang masih belum tentu padan dengan masa yang dibazirkan.

Tapi tidak semua ahli politik yang pakai hashtag tersebut benar-benar mencerminkan ketenangan dan kewarasan. Bagi saya ada seorang sahaja ahli politik yang tidak menggunakan hashtag tersebut, tapi saya lihat beliaulah sebenar-benarnya orang politik yang layak dinobat sebagai yang #kekaltenang.

Daripada awal perintah kawalan pergerakan, hari-hari mukanya keluar TV. Seluruh Malaysia menanti-nanti apa yang akan disampaikan dan dikatakan. Warna bajunya yang bercorak-corak menarik perhatian samada dari yang muda atau yang tua.

Sehingga keluarlah gelaran “Pak Long Mail”, gelaran pak long ni biasanya diberikan kepada abang kepada mak atau ayah kita. Pak long selalunya sporting, tenang dan rapat dengan anak-anak buah, jadi tempat mengadu anak-anak buah, ketegasan dan nasihat pak long menjadi pendamai kepada anak yang bermasam muka dengan mak ataupun ayah, pak long jugalah pelindung semua ketika apa-apa terjadi.

Sebenarnya dari dahulu lagi, sahabat-sahabat dalam pkr dan parti pembangkang yang lain mengakui bahawa Ismail Sabri adalah seorang menteri kabinet yang benar-benar bekerja. Kebolehannya terserlah semasa menjawat jawatan Menteri KPDNKK. Di sebalik isu harga barang yang meningkat naik, pelbagai program dilaksanakan untuk menstabilkan harga dan membela pengguna serentak menenangkan kuasa market forces yang dipacu pertumbuhan ekonomi yang terlalu rancak ketika itu.

‘Bukan nak melambung’

Saya bukanlah nak memuji atau melambung Ismail Sabri, tetapi saya rasa karakter beliau di dalam politik boleh dijadikan contoh ramai ketika ini, di saat rakyat sedang melampiaskan kemarahan dan kekecewaan mereka terhadap ahli-ahli politik.

Beliau tidak terlalu retorik melempar janji dan kata, tidak terlalu jahat menghentam pihak lawan dan tidak terlalu taksub kepada sosok seorang pemimpin sahaja. Akur kepada arahan parti walaupun kadang tidak bersetuju, tidak bergaduh secara terbuka dan tidak menyerang peribadi sesiapa. Fokus kepada agenda dan kerja untuk rakyat.

Ketika menyarung baju parti untuk berkempen, dialah yang paling ke depan. Habis pintu rumah, ruang tamu, dapur orang dimasuknya. Tak kekok dengan orang kampung. Sebab itu tsunami politik macam mana sekalipun, Bera tetap memberi undi pada dia. Tapi dalam sibuk berkempen, tak tinggal kerja sebagai Menteri. Setahu saya, sidang media menteri keselamatan tak pernah ditunda kerana kempen politik!

Bukan mudah untuk seorang menteri buat sidang media hari-hari dan menjawab pelbagai soalan dari pihak wartawan. Setiap hari kadang kala berjam lamanya. Apatah lagi ada waktu soalan itu bukanlah bidang kepakaran menteri tersebut. Saya ingat lagi pada satu hari ada wartawan yang bertanya perihal “termometer”. Jawapan yang diberikan pak menteri ini ketika itu disulam dengan unsur-unsur teknikal mengenai termometer tersebut. Tersenyum juga saya ketika mendengarnya, tertanya saya dalam hati dari manalah Datuk Mail tahu benda-benda ini.

Saya hanya pernah lihat kualiti berhadapan media seperti ini hanya pada dua orang ahli politik Malaysia. Ismail Sabri ketika krisis Covid 19 dan Hishamuddin Hussein ketika MH370. Ramainya bila ditembak dengan soalan kontroversi mula melompat ataupun memberikan jawapan sinis yang menyakitkan hati.

Serangan beberapa pihak kepada Ismail Sabri dalam dua tiga hari ini saya kira tidak mempunyai asas. Contohnya apabila Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil menuduh bahawa Ismail Sabri tidak bertanggungjawab kerana tidak mewajibkan saringan dan kuarantin untuk mereka yang pulang dari Sabah sebelum 26 September.

Tuduhan tersebut tidak betul, kerana hal-hal berkait kuarantin dan saringan adalah keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia, bukan Menteri Kanan Keselamatan. Sebab itu yang buat swab test, yang ambil dan hantar untuk pergi kuarantin, yang ikat dan potong gelang pink adalah pegawai KKM. Saya percaya KKM lebih tahu apa yang perlu dan apa yang tak perlu dalam hal melawan Covid ini. Kerana mereka lebih mengenali virus ini daripada kita yang hanya duduk depan monitor sahaja.

Tugas Ismail Sabri adalah dalam memastikan segala SOP dan keputusan KKM dipatuhi oleh semua orang demi keselamatan semua. Jika tidak dipatuhi maka tindakan diambil dan diserah pula kepada Pejabat Peguam Negara untuk diperimbangkan atas kuasa AG sama ada perlu didakwa ataupun tidak.

Seperti yang saya katakan tadi, sekarang ramai orang yang sedang marah dengan orang politik. Jika orang-orang politik masih ego, sombong dan hanya mementingkan kuasa politik maka tidak hairan satu hari nanti kemarahan rakyat ini bertukar menjadi amarah yang lebih membara. Itu kita tidak mahu.

Karakter, fokus dan ketekunan kerja Ismail Sabri boleh dijadikan panduan orang-orang politik sekarang ini. Jangan terlampau sibuk berpolitik, kerja entah ke mana. Jangan terlalu tamak kuasa, hingga rakyat merana. Saya yakin saya tidak berseorangan dalam melontarkan pandangan ini. Setakat 24 jam yang lalu, ketika rata-rata Facebook orang politik dibanjiri ribuan komen serangan daripada rakyat, Facebook Ismail Sabri masih lagi menerima ribuan komen positif, doa dan ucapan terima kasih.


RAHIMI OSMAN merupakan pemerhati politik. Pernah bertugas sebagai setiausaha sulit Anwar Ibrahim serta menjadi ketua pegawai eksekutif Yayasan Perdana Ummah ketika pentadbiran Perdana Menteri keenam Najib Razak.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS