Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Muda gesa tempoh perdamaian untuk semua parti politik
Diterbitkan: Β Oct 7, 2020 4:17 PM
β‹…
Dikemaskini: 8:17 AM

Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mendesak tempoh perdamaian antara parti politik susulan wabak Covid-19 yang melanda negara.

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang juga pengasas Muda, berkata gesaan itu ditujukan buat parti kerajaan dan pembangkang.

"Bagi Muda, kita ingin mencadang dan juga mendesak, bukan saja bagi kerajaan, tapi juga pembangkang untuk tiga perkara.

"Pertama, berhentilah politik perebutan kuasa. Sambil kita merebut takhta kuasa, rakyat terus sengsara.

"Yang kedua, hentikan niat untuk mengadakan pilihan raya umum (PRU) atau pilihan raya negeri selagi kes Covid-19 berleluasa.

"Ketiga, ini adalah masa untuk kerajaan dan pembangkang duduk semeja, mencari jalan penyelesaian bersama," katanya dalam pesanan video yang dimuat naik di media sosial.

Gesaan itu ditandakan sebagai #PauseMalaysia.

 

Malaysia kini sedang mencatatkan kes Covid-19 aktif tertinggi yang pernah direkod, dengan 2,936 orang kini dirawat setakat tengah hari semalam.

Jumlah kes aktif baru dijangka meningkat.

Kedah dan Sabah menyumbang kepada lonjakan kes baru, sementara jumlah kes di seluruh Semenanjung Malaysia juga terus meningkat.

Gelombang baru Covid-19 itu hadir susulan pilihan raya negeri Sabah yang berakhir 26 Sept lalu.

Pada masa sama, negara ini juga menghadapi ketidakpastian politik kerana majoriti Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat dipertikaikan.

Sarawak juga perlu mengadakan pilihan raya dalam waktu kurang dari 10 bulan.

Sementara pilihan raya kecil akan diadakan bagi kerusi Batu Sapi di Sabah dalam masa dua bulan selepas penyandangnya, Liew Vui Keong meninggal dunia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS