Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Terdesak motor rosak, penganggur rompak warga Bangladesh

Terdesak untuk membaiki motosikalnya yang rosak, seorang penganggur bertindak merompak wang RM200 milik seorang lelaki warga Bangladesh, dan hari ini lelaki itu dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur selepas dia mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut.

Hakim Emilia Kaswati Mohamad Khalid menjatuhkan hukuman itu ke atas Nasrol Nizam Vira, 20, dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap 4 Okt lalu.

Ketika ditanya Emilia Kaswati sebab dia melakukan kesalahan itu, tertuduh memberitahu dia terdesak untuk membaiki motosikalnya yang rosak.

Nasrol Nizam didakwa merompak pekerja pembersihan Alom Mohasin, 26, dengan mengambil wang RM200 di bawah blok di sebuah Flat Sri Pulau Pinang di sini pada 9 pagi, 4 Okt lepas mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran dan tindakan tertuduh melakukan rompak hanya untuk mendapatkan wang bagi membaiki motosikal bukan satu keperluan terdesak manakala Nasrol Nizam yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana dia menjaga ibunya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS