Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rosmah nafi kenal individu penting kes rasuah projek solar

Rosmah Mansor menafikan dia mengenali individu-individu penting dalam projek tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak yang kini menjadi pertikaian di mahkamah.

Penafian tersebut terkandung dalam petikan kenyataan yang dirakam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2018.

Ia diberikan kebenaran untuk didedahkan ketika perbicaraan kes rasuah melibatkan Rosmah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.

Menurut kenyataan itu, isteri kepada bekas perdana menteri Najib Razak mendakwa bahawa dia tidak mengenali bekas pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin dan bekas rakan perniagaannya, Rayyan Radzwill Abdullah.

Penafian Rosmah itu dibuat ketika menjawab dua soalan daripada SPRM mengenai adakah dia mengenali dua individu tersebut.

Saidi dan Rayyan merupakan dua individu penting dalam perbicaraan kes tersebut telah memberikan keterangan saksi dalam kes rasuah yang berkaitan dengan projek itu.

Rosmah juga menafikan bahawa dia mengenali individu yang dikenali sebagai “Cikgu Azmi,” apabila ditanya mengenai apakah yang dia tahu mengenai projek tersebut.

Sebelum ini, dilaporkan individu yang dikenali sebagai “Cikgu Azmi” merujuk kepada Setiausaha Umno Pekan, Aazmey Abu Talib.

Nama tersebut turut disebut oleh bekas menteri pendidikan, Mahdzir Khalid dalam keterangannya sebagai saksi.

Sementara itu, ketika perbiacaraan hari ini, pegawai penyiasat SPRM Noornabilah Mohd Aziman memberi keterangan bahawa bukti yang dikumpulnya ketika siasatan dijalankan mendapati Rosmah seperti mengenali Saidi.

Saksi ke-23 itu berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berhubung kenyataan Rosmah kepada SPRM yang didedahkan itu.

Ketika pemeriksaan semula oleh pihak pendakwa hari ini, Noornabilah berkata bahawa terdapat satu video dan gambar Saidi di kediaman Rosmah di No 11, Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur apabila Akram meminta sama ada terdapat bukti yang menunjukkan Said berada di kediaman Rosmah.

Ahmad kemudiannya menunjukkan ke mahkamah berhubung gambar yang kelihatan Saidi berada dalam rumah tersebut.

Ketika melihat gambar yang ditunjukkan itu, Noornabilah mengesahkan bahawa ia merupakan antara bukti Saidi dan Rosmah mengenali sesama sendiri.

Sementara itu, Akram turut memaklumkan kepada hakim Mohamed Zaini Mazlan bahawa pihak pembelaan telah meminta untuk memanggil semula Mahdzir untuk pemeriksaan balas selanjutnya.

Zaini kemudian menangguhkan perbicaraan untuk hari ini dan menetapkan 20 Okt untuk pihak pembelaan memanggil semula Mahdzir sebagai saksi bagi pemeriksaan balas.

Rosmah kini dibicara atas tuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, menerusi bekas pembantu Rosmah iaitu Rizal Mansor bagi projek membekalkan tenaga solar kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS