Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
2 lelaki ditahan bantu siasatan pencemaran sungai Batang Benar

Polis menahan dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kes pencemaran Sungai Batang Benar di Negeri Sembilan dan Sungai Semenyih, Selangor semalam.

Timbalan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata lelaki itu masing-masing berusia 30-an dan 40-an ditahan di Kota Bharu, Kelantan ketika dalam perjalanan pulang ke Nilai.

“Saya belum terima lagi laporan lengkap soal siasat berkenaan kes ini. Kes disiasat polis Negeri Sembilan... berilah sedikit masa untuk kami siasat kerana kita tidak boleh terburu-buru,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu Acryl Sani merasmikan Seminar Pengukuhan Siasatan Jenayah Komersial dan pelancaran portal Aplikasi Semak Mule di Maktab Polis Diraja Malaysia, Cheras hari ini.

Sementara itu di SEREMBAN, Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan SAC Che Zakaria Othman berkata kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan susulan laporan yang dibuat Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) Isnin lepas.

“Siasatan dibuat di sebuah tapak berhampiran Sungai Batang Benar, Jalan Emas berdekatan kilang Chuan Plus Industries Sdn Bhd yang disyaki menjadi tempat pembuangan bahan sisa berkaitan dan beberapa sampel di tempat kejadian diambil pasukan forensik IPK (Ibu Pejabat Polis Kontinjen) Negeri Sembilan untuk siasatan,” katanya pada sidang media di Sembilan hari ini.

"Polis turut merampas sebuah lori dan sejumlah dokumen urusan pengangkutan," tambahnya.

Che Zakaria berkata kedua-dua lelaki terbabit - masing-masing bekerja sebagai pemandu dan kelindan lori sebuah syarikat pengangkutan di Kelantan - direman tujuh hari bermula hari ini.

Pada Isnin, Bernama melaporkan Kementerian Alam Sekitar dan Air menyatakan sejumlah bahan buangan dan bahan sebatian organik tersisa ditemukan di kawasan belukar di pinggir kawasan industri di Jalan Emas, Kawasan Perindustrian Nilai yang menjadi punca pencemaran di sungai berkenaan.

Pencemaran itu menyebabkan dua loji rawatan air iaitu di Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas, sekali gus mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual ke atas 309,687 akaun pengguna Air Selangor di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS